BINTANGOR: Ketiadaan pili bomba dan sumber air terbuka menjadi antara cabaran dihadapi anggota bomba ketika memadam kebakaran belukar seluas kira-kira 0.5 ekar di Batu 7, Jalan Kelupu, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.28 petang sebelum beliau bersama lima anggota bomba bergegas ke lokasi.
Katanya, ketika operasi dijalankan, api masih marak dan tindakan segera dilakukan bagi menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

“Kebakaran melibatkan belukar anggaran terlibat lebih kurang 0.5 ekar dan api masih marak.
“Anggota membuat pemadaman awal dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula ke lokasi kebakaran.
“Seterusnya dengan membentang hos, satu aliran 200 kaki, satu nozel, sumber air dari tangki jentera bagi mengawal kemerebakan kebakaran ke lokasi lain,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Tambahnya, usaha pemadaman membolehkan kebakaran dikawal beberapa minit kemudian sebelum anggota bomba meneruskan kerja memadam bara bagi memastikan api benar-benar padam.
“Kebakaran berjaya dikawal beberapa minit kemudian dan kerja-kerja memadam bara api masih diteruskan sehingga kebakaran padam sepenuhnya.
“Sumber air sukar diperolehi disebabkan lokasi tersebut tiada terdapatnya pili bomba dan sumber air terbuka, parit yang kering,” katanya.
Katanya, pemeriksaan semula turut dilakukan di kawasan terjejas bagi memastikan tiada bara api yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
“Setelah kebakaran padam sepenuhnya dan pemeriksaan semula dilakukan bagi memastikan tiada lagi bara api, operasi seterusnya ditamatkan.
“Operasi berjaya dikawal pada 5.40 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 5.47 petang,” katanya lagi.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
Oleh Earl Anek




