Kualiti udara Sarawak merosot, aduan masalah pernafasan meningkat

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan jerebu menyelubungi kawasan sekitar bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, ibu negeri Sarawak di pulau Borneo, pada 1 September 2026. Foto AFP

KUCHING: Kualiti udara hampir seluruh Sarawak terus merosot apabila asap daripada kebakaran hutan dari Kalimantan, Indonesia menyebabkan peningkatan aduan berkaitan masalah pernafasan, selain mendorong penduduk mendapatkan pelitup muka sebagai langkah perlindungan.

Enam daerah di Sarawak, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya, termasuk Kuching, yang mencatatkan bacaan IPU sebanyak 407, semalam.

Menurut garis panduan kebangsaan, bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya, manakala bacaan melebihi 500 boleh menyebabkan pihak berkuasa mempertimbangkan pengisytiharan darurat tempatan.

Sekolah telah ditutup sejak dua minggu lalu, manakala bekalan pelitup muka yang sesuai untuk melindungi daripada jerebu di negeri itu semakin berkurangan.

Seorang penduduk, Ivana Mason, 37, berkata lima farmasi yang dikunjunginya telah kehabisan stok alat pernafasan yang direka bentuk untuk menapis zarah halus.

“Yang ada hanyalah pelitup muka perubatan biasa, yang tidak berkesan untuk melindungi daripada zarah halus jerebu,” katanya kepada AFP.

Mason berkata keadaan udara yang semakin buruk turut menjejaskan kesihatannya, menyebabkan sakit tekak dan memburukkan lagi keadaan asmanya.

“Saya bersin tanpa henti dan mata saya sentiasa berair,” katanya.

Beliau berkata keadaan jerebu memaksanya berhenti mengunjungi gimnasium yang tidak berhawa dingin seperti kebiasaannya dan mengehadkan aktiviti di luar rumah.

“Jika saya keluar, saya benar-benar dapat merasakan asap di dalam mulut saya.”

Ahli farmasi tempatan, Dawi Bakri, 31, berkata permintaan terhadap pelitup muka meningkat dengan ketara sejak keadaan jerebu bertambah buruk, sekali gus menyukarkan usaha untuk memastikan bekalan yang mencukupi.

“Semua jenis pelitup muka habis dijual lebih cepat daripada biasa,” katanya.

Md Khairulanwar Asri, 33, ahli terapi pekerjaan di Pusat Jantung Sarawak, memberi amaran bahawa kualiti udara yang buruk boleh menjejaskan individu yang mempunyai masalah jantung atau pernafasan, selain pesakit warga emas yang menghidap pelbagai penyakit.

“Orang yang terdedah kepada kualiti udara yang buruk boleh mengalami batuk, kerengsaan pada tekak dan mata serta sesak nafas.

“Gejala-gejala ini juga boleh menjejaskan daya tahan dan keupayaan seseorang untuk menjalankan aktiviti harian dengan selesa, khususnya aktiviti yang memerlukan tenaga fizikal,” katanya.

Sarawak merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas dalam episod jerebu terkini apabila asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Indonesia bergerak merentasi sempadan.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan peningkatan kes asma dan konjunktivitis di seluruh negara susulan kemerosotan kualiti udara.

Pihak berkuasa Sarawak berkata operasi pembenihan awan boleh dimulakan esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

– AFP

RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas menteri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas menteri bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam