KUCHING: Keadaan jerebu yang semakin memburuk di beberapa kawasan Sarawak mula mengubah rutin harian orang ramai apabila aktiviti luar dikurangkan, selain menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan dan keselamatan.
Bagi Evelyn, 23, dari Kapit, keadaan hari ini dirasakan lebih teruk berbanding hari sebelumnya apabila udara kelihatan berkabus dan jarak penglihatan menjadi semakin terhad.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah serta mengurangkan aktiviti seperti bersukan dan berjalan-jalan.
“Saya cuba mengelakkan aktiviti luar yang tidak penting apabila bacaan IPU tinggi. Jika ada urusan yang perlu dilakukan, saya hanya keluar untuk tempoh singkat dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Menurut Evelyn, beliau turut memastikan pintu dan tingkap ditutup bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar, selain menggalakkan ahli keluarga memakai pelitup muka ketika berada di luar.
Sementara itu, Fajiha Morny, 25, dari Kuching, berkata jerebu turut menjejaskan keselesaan pernafasannya apabila keadaan udara dirasakan lebih berkabus berbanding hari sebelumnya.
“Kalau tidak terlalu penting, saya akan elakkan aktiviti luar ketika bacaan IPU tinggi. Tetapi kalau ada urusan penting, saya tetap perlu keluar,” katanya.
Beliau berkata, selain mengehadkan pergerakan di luar, pintu dan tingkap rumah turut ditutup sebagai langkah mengurangkan pendedahan kepada udara berjerebu.

Fajiha turut berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap punca jerebu, selain memberikan maklumat terkini kepada orang ramai supaya mereka dapat mengambil langkah sewajarnya.
Bagi Kattyriana, 36, dari Betong, keadaan jerebu hari ini lebih pekat sehingga jarak penglihatan menjadi sangat terhad.
“Jerebu mengganggu aktiviti harian. Tidak selesa untuk keluar rumah dan anak-anak juga tidak dapat bermain di luar,” katanya.
Kattyriana berkata, beliau menggunakan pelitup muka apabila perlu keluar, selain menutup pintu dan tingkap serta menggunakan penyaman udara dan penapis udara di rumah.

Menurutnya, keadaan jerebu turut meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya apabila jarak penglihatan menjadi terhad, menyebabkan pemanduan perlu dilakukan dengan lebih perlahan serta menggunakan lampu hadapan.
Beliau turut bimbang keadaan itu memberi kesan kepada kesihatan, khususnya kanak-kanak dan warga emas, selain berpotensi mengganggu aktiviti ekonomi serta persekolahan sekiranya berlarutan.
Kattyriana berharap tindakan lebih tegas diambil terhadap aktiviti yang menjadi punca jerebu, termasuk pembakaran hutan, selain penguatkuasaan undang-undang dipertingkatkan.
Sementara itu, Noraini, 27, berkata keadaan jerebu menyebabkan aktiviti riadah yang menjadi rutin hariannya terpaksa ditangguhkan.

“Saya biasanya berjalan pantas (brisk walk) setiap petang, namun sekarang terpaksa menangguhkannya. Aktiviti luar juga dikurangkan berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan jerebu turut memberi kesan ketara ketika memandu apabila jarak penglihatan yang sebelum ini sekitar 100 meter kini dianggarkan hanya 50 meter.
“Ya, jarak penglihatan semakin terhad dan keadaan ini agak membimbangkan, terutama bagi mereka yang perlu bekerja di luar,” katanya.
Noraini berkata, beliau turut menggunakan pelitup muka ketika berada di luar sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berharap kerajaan mengambil langkah lebih proaktif, termasuk mempertimbangkan sekatan terhadap aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu terus memburuk.
Oleh Shikin Mahmud




