KUALA LUMPUR: Waris mangsa yang masih gagal dikesan susulan tragedi banjir lumpur di Nepal minggu lepas kini bersiap sedia untuk menyerahkan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) mereka dan hanya menunggu panggilan daripada pihak berkuasa bagi menjalani proses berkenaan.
Sivakumar Kalimuthu, 57, suami seorang daripada mangsa, iaitu Kalai Mathe Karuppaiah, 57, berkata anak-anaknya kini menunggu pemakluman rasmi untuk melakukan prosedur rujukan silang profil identiti.
Dia berkata walaupun berada di Singapura, Langkawi dan Selangor, mereka telah diberikan penjelasan serta memahami kepentingan untuk berbuat demikian.
“Anak-anak semua dah sedia, tunggu esok atau bila-bila masa mereka panggil memandangkan semalam dan hari ini cuti… anak yang di Selangor boleh pergi dan DNA dia boleh digunakan, kami hanya tunggu panggilan daripada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, sesi taklimat tertutup oleh Kementerian Luar pada Ahad lepas memaklumkan bahawa waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.
Langkah itu antara persediaan awal susulan penemuan beberapa jasad yang belum dikenal pasti di kawasan bencana dan terpaksa dikebumikan segera berikutan ketiadaan fasiliti penyimpanan bersesuaian di lokasi.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata isterinya antara warganegara Malaysia yang dilaporkan masih hilang ketika mengikuti ekspedisi ke Gunung Kailash di Tibet, China sebelum terputus hubungan akibat bencana alam tersebut.
Biarpun terpaksa melalui prosedur ujian DNA, Sivakumar berkata dia dan keluarga masih menaruh harapan tinggi serta terus berdoa agar isterinya berada dalam keadaan selamat serta dapat pulang ke tanah air.
Wisma Putra memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 orang di Nepal susulan banjir kilat dahsyat serta tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal yang berlaku pada 26 Ogos lepas.
Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 804 orang manakala hampir 3,300 lagi masih hilang. – Bernama





