Bekalan air Jalan Ketitir pulih walaupun jerebu pada tahap berbahaya

Facebook
WhatsApp
TINJAU PEMBAIKAN... Kaunselor Gerald Goh bergambar bersama pasukan Sarawak Water Sdn Bhd selepas kerja pembaikan paip air di Jalan Ketitir selesai dilaksanakan.

KUCHING: Bekalan air di Jalan Ketitir kembali pulih selepas kerja pembaikan oleh Sarawak Water Sdn Bhd dilaksanakan walaupun keadaan jerebu di kawasan berkenaan mencapai tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 350, kata Kaunselor Gerald Goh.

Beliau berkata, kawasan berkenaan mengalami beberapa kejadian paip air pecah sejak beberapa bulan lalu, dengan setiap aduan yang diterima segera diambil tindakan dan dibaiki.

Menurutnya, kerja pembaikan terbaharu dilaksanakan ketika bacaan IPU mencapai tahap berbahaya, iaitu 350.

“Walaupun berdepan keadaan sukar dan tidak sihat, pasukan Sarawak Water terus bekerja di lapangan bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan,” katanya.

PASUKAN Sarawak Water Sdn Bhd menjalankan kerja pembaikan paip air di Jalan Ketitir walaupun bacaan IPU mencecah tahap berbahaya.

Beliau berkata, pemulihan bekalan air membolehkan penduduk kembali menjalankan rutin harian seperti memasak, mandi dan menggunakan tandas seperti biasa.

“Bagi pihak penduduk Jalan Ketitir, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan Sarawak Water atas dedikasi, komitmen dan kerja keras mereka,” katanya.

Gerald menyifatkan usaha berkenaan sebagai mencerminkan semangat Merdeka yang sebenar, iaitu terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun berdepan keadaan sukar.

Oleh Connie Chieng