TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) kini semakin berkembang daripada sekadar menghasilkan imej dan video pendek kepada kemampuan membina sebuah karya filem lengkap dengan jalan cerita, watak, emosi dan dunia tersendiri.
Buktinya menerusi Tantari Absolusi, sebuah filem AI aksi cyberpunk berdurasi lebih satu jam yang bakal ditayangkan pada 25 September 2026 menerusi Prompters Malaya TV (YouTube) dan kumpulan Prompters Malaya.
Filem arahan dan hasil karya Asyraf Yahaya @ Vanta Hitam membawa penonton ke dunia futuristik yang mengisahkan Tantari, seorang pejuang elit korporat yang selama ini percaya tugasnya adalah melindungi bandar daripada kumpulan yang dikenali sebagai “The Defect”.
Namun, semakin jauh perjalanan cerita, Tantari mula mempersoalkan kebenaran di sebalik misi yang selama ini dipercayainya.
Lebih menarik, filem ini turut menampilkan watak AI termasuk AI admin Prompters Malaya, Afiq Yahaya dan moderator Prompters Malaya, Earl Anek yang menjadi sebahagian daripada dunia penceritaan Tantari Absolusi.
Dalam temu bual eksklusif bersama pencipta filem tersebut, beliau berkongsi cabaran, proses kreatif dan perjalanan menghasilkan sebuah filem AI berdurasi panjang.
Soalan (S): Menghasilkan filem AI berdurasi lebih satu jam bukan sesuatu yang mudah. Berapa lama keseluruhan proses penghasilan Tantari Absolusi dan apakah fasa yang paling memakan masa?
Asyraf: Saya mula melakukan fasa pra-produksi sekitar 10 Mei 2026, jadi lebih kurang empat bulan lebih diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan projek ini setakat tarikh hari ini.

Bahagian yang paling memakan masa ialah proses menghasilkan dan memperkemaskan setiap babak, terutama babak aksi.
Kadangkala hanya beberapa saat dalam filem memerlukan banyak percubaan semula sehingga pergerakan dan kesinambungan babak benar-benar tepat.
S: Bagaimana memastikan konsistensi watak, kostum, lokasi dan gaya visual sepanjang filem yang berdurasi lebih satu jam?
Asyraf: Saya menyediakan lembaran rujukan watak dengan empat sudut pandangan untuk setiap watak sejak awal.
Apabila menghasilkan babak baharu, saya akan memuat naik dan merujuk semula reka bentuk yang sama supaya identiti watak kekal konsisten.
Namun AI kadangkala menghasilkan perubahan tersendiri. Jadi setiap babak perlu diperiksa satu persatu dan dibuat semula sekiranya terlalu jauh daripada reka bentuk asal.
S: Apakah cabaran terbesar untuk mengekalkan momentum cerita dan emosi penonton dalam sebuah filem AI berdurasi panjang?
Asyraf: Bagi saya, cabaran terbesar ialah dari segi rentak penceritaan.
Jika video hanya berdurasi satu atau dua minit, visual yang menarik mungkin sudah cukup untuk menarik perhatian penonton.
Tetapi apabila menghasilkan filem lebih satu jam, kita perlu memberikan sebab kepada penonton untuk terus mengikuti cerita.
Sebab itu keseimbangan antara aksi, dialog, ketegangan, elemen humor dan perkembangan watak sangat penting.
Kita tidak boleh hanya memaparkan babak aksi sepanjang masa.
S: Adakah keseluruhan filem dibangunkan berdasarkan skrip lengkap terlebih dahulu, atau jalan cerita berkembang secara berperingkat sepanjang proses produksi?
Asyraf: Asas cerita memang sudah dibentuk sejak awal, termasuk dunia cerita, karakter dan pengakhiran yang ingin saya capai.
Namun sepanjang proses menghasilkan filem ini, jalan cerita turut berkembang.
Kadangkala apabila satu babak sudah siap, muncul idea baharu yang dirasakan lebih menarik untuk dikembangkan atau memperdalamkan karakter tertentu.
S: Berapa banyak babak yang terpaksa dibuat semula untuk menyiapkan filem ini dan apakah masalah yang sering berlaku?
Asyraf: Memang banyak babak yang perlu dihasilkan semula.
Antara masalah yang berlaku termasuk perubahan wajah watak, karakter tertukar, reka bentuk senjata yang tidak tepat, pergerakan yang kelihatan pelik atau kesinambungan cerita yang tidak selari.
Kadangkala hasil AI itu memang cantik, tetapi jika tidak sesuai dengan babak sebelum atau selepasnya, saya tetap tidak boleh menggunakannya.
S: Untuk filem berdurasi lebih satu jam, bagaimana mengurus suara, dialog, muzik, reka bentuk bunyi dan penyuntingan supaya hasil akhirnya terasa seperti sebuah filem sebenar?
Asyraf: Saya menghasilkannya seperti proses penyuntingan filem biasa.
Bukan semua babak memerlukan muzik yang besar atau epik. Kadangkala bunyi suasana atau elemen senyap lebih berkesan.
Kesan bunyi juga penting kerana ia memberikan impak kepada aksi, objek, pergerakan watak dan suasana persekitaran.
Penyuntingan pula menjadi proses terakhir yang menggabungkan semua elemen tersebut supaya keseluruhannya terasa seperti sebuah filem sebenar.
S: Apakah teknologi atau platform AI utama yang digunakan dalam produksi ini?
Asyraf: Saya menggunakan beberapa jenis teknologi AI, bukan bergantung kepada satu platform sahaja.
Antaranya ialah Nano Banana Pro untuk penghasilan visual yang lebih konsisten, Seedance 2.0 dan 2.5 untuk video, ElevenLabs untuk suara serta Suno AI untuk muzik.
Saya memilih setiap model berdasarkan kekuatan masing-masing, kemudian semua hasil tersebut digabungkan melalui proses penyuntingan dan pasca-produksi.
S: Dengan durasi lebih satu jam, adakah Tantari Absolusi merupakan projek AI paling besar yang pernah hasilkan?
Asyraf: Ya, Tantari Absolusi sememangnya antara projek terbesar yang pernah saya hasilkan selepas filem pendek AI Weaponist: Dendam Berdarah.
Ia bukan hanya kerana durasinya lebih satu jam, tetapi kerana projek ini melibatkan banyak karakter, lokasi, latar cerita dan babak aksi.
Projek ini banyak mengajar saya mengenai pengarahan dan penceritaan, walaupun latar belakang saya adalah sebagai penyunting video dan pereka grafik gerakan, bukan sekadar penghasilan arahan AI sahaja.
S: Bagaimana watak AI admin Prompters Malaya, Afiq Yahaya dan AI moderator Earl Anek dimasukkan ke dalam naratif? Adakah mereka sekadar cameo atau mempunyai peranan penting dalam perkembangan cerita?
Asyraf: Mereka bukan sekadar cameo kosong. Kedua-duanya dimasukkan sebagai sebahagian daripada dunia Tantari dan mempunyai fungsi masing-masing dalam jalan cerita.
Namun saya tidak boleh berkongsi terlalu banyak kerana ia boleh memberikan pendedahan awal kepada penonton.
S: Selepas tayangan perdana pada 25 September 2026, adakah bercadang mengembangkan dunia Tantari sebagai sekuel, spin-off atau siri AI yang lebih panjang?
Asyraf: Memang ada beberapa idea untuk dikembangkan.
Dunia Tantari sebenarnya masih mempunyai banyak perkara yang boleh diterokai.
Namun saya mahu melihat terlebih dahulu bagaimana penerimaan penonton terhadap Tantari Absolusi.
Jika penonton menikmati filem ini dan mahukan lebih banyak cerita, memang terdapat ruang untuk mengembangkan dunia tersebut melalui sekuel, cerita sampingan atau kisah watak lain.
Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada faktor kos dan peluang kerana itu merupakan perkara paling penting dalam menghasilkan projek seterusnya.
Rumusan
Penghasilan Tantari Absolusi menunjukkan bahawa teknologi AI kini bukan sekadar alat untuk menghasilkan visual menarik, tetapi mampu menjadi medium baharu dalam dunia penceritaan dan pembikinan filem.
Walaupun menggunakan bantuan teknologi AI, sentuhan manusia masih menjadi elemen utama dalam menentukan arah cerita, emosi watak, kreativiti dan keputusan artistik.
Dengan tempoh produksi lebih empat bulan dan durasi melebihi satu jam, Tantari Absolusi menjadi satu lagi contoh bagaimana komuniti pencipta AI tempatan terus meneroka sempadan baharu dalam industri kreatif digital.
Kini, penonton hanya perlu menantikan tayangan perdana pada 25 September 2026 untuk melihat sendiri dunia futuristik Tantari yang dibina melalui gabungan imaginasi manusia dan kekuatan teknologi AI.
Nota: Penulis adalah wartawan Utusan Sarawak dan moderator Facebook kumpulan Prompters Malaya, kumpulan AI terbesar di Malaysia yang mempunyai jumlah lebih kurang 741,700 ahli setakat ini.
Oleh Earl Anek





