BEIJING: Setakat 30 Ogos, semua warga China yang berjaya dihubungi di kawasan terjejas bencana gelongsoran lumpur di Nepal telah selamat dipindahkan dan ditempatkan semula, kata Jurucakap Kementerian Luar China pada Isnin, lapor Xinhua.
Jurucakap Guo Jiakun pada taklimat media harian memaklumkan bahawa China kini berusaha sedaya upaya untuk mencari dan menyelamatkan mangsa yang hilang di dalam serta luar negara, selain berhubung rapat dengan kedutaan asing di China bagi menjalankan operasi bersama mencari dan mengendalikan urusan berkaitan warga asing yang hilang.
Sambil menjalankan usaha menyelamat dan menyampaikan bantuan di dalam negara dengan segera, China turut serta-merta menghubungi Nepal bagi menyokong tindak balas kecemasan dan penyampaian bantuan bencana negara itu, kata Guo.

Menyentuh mengenai Kerajaan China yang menyediakan bantuan kewangan kecemasan dan kemanusiaan kepada Nepal, Guo berkata bekalan bantuan fasa pertama sebanyak 50 tan telah tiba di Kathmandu, manakala dua pasukan penyelamat yang terdiri daripada pakar penyelamat terowong China telah bergegas ke kawasan terjejas di Nepal.
“Kami juga telah berkongsi maklumat penting seperti imej, satelit dan data hidrologi kawasan terjejas bencana dengan pihak Nepal, termasuk maklumat amaran awal mengenai tasik empangan di hulu sungai. China secara aktif membantu rakyat Nepal yang terkandas untuk pulang ke tanah air secepat mungkin,” kata Guo.
Bencana yang tercetus oleh runtuhan glasier secara tiba-tiba di kawasan sempadan Nepal telah mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan ramai hilang di kedua-dua pihak China dan Nepal.
Ia merupakan bencana rentas sempadan paling serius antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, dengan usaha memberikan bantuan terbukti sangat rumit dan mencabar. – Bernama-Xinhua





