Operasi menyelamat memasuki hari keenam, hampir 4,500 masih hilang di Nepal

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki duduk di sisi timbunan serpihan sambil menyelamatkan barangan miliknya selepas banjir kilat melanda Devighat, Daerah Nuwakot, Nepal, pada 31 Ogos 2026. Foto AFP

NUWAKOT, Nepal: Pasukan penyelamat bertungkus lumus meredah lumpur dan timbunan serpihan untuk hari keenam, ketika jumlah orang yang masih hilang meningkat kepada hampir 4,500 orang selepas banjir glasier seperti tsunami mengalir deras dari sempadan China-Nepal, mencetuskan bencana yang “tidak terbayangkan”.

Angka kematian yang disahkan terkini meningkat melebihi 900 orang, manakala mayat yang belum dikenal pasti dikebumikan di dalam kubur besar selepas sampel DNA diambil.

Gelombang besar air berais, batu dan serpihan yang menghempas kampung serta pekan mengorbankan sekurang-kurangnya 939 orang di Nepal dan Tibet, China, manakala sekurang-kurangnya 17 mayat turut ditemukan di sungai di kawasan hilir India.

Shibu Giri, seorang pekerja loji hidroelektrik di Rasuwa, menganggap dirinya bernasib baik kerana masih hidup.

ANGGOTA tentera membawa mayat mangsa banjir kilat keluar dari helikopter di kem Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal, pada 31 Ogos 2026. Foto AFP

“Pasukan helikopter cuba menyelamatkan saya sebanyak tiga kali, tetapi tubuh saya terperangkap dalam lumpur sehingga paras pinggang,” kata lelaki Nepal berusia 44 tahun itu kepada AFP.

“Saya meminta mereka mencampakkan air dan makanan,” kata Giri yang akhirnya diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, menyifatkan bencana itu sebagai “tidak terbayangkan dan memilukan”.

Di Daerah Chitwan, anggota tentera keluar dari bot getah dan mengusung mangsa yang maut dalam beg mayat berwarna biru ke tebing sungai sebelum meletakkannya berderet di sepanjang jalan tanah.

Pasukan penyelamat berlumba dengan masa dalam keadaan berbahaya untuk membebaskan kira-kira 100 pekerja loji hidroelektrik yang dipercayai terperangkap dalam beberapa terowong, dengan menggali, menggerudi dan menggunakan bahan letupan untuk menembusi timbunan serpihan.

Setakat ini, tiga mayat telah dikeluarkan dari dua terowong, manakala pasukan penyelamat mendapati laluan terhalang oleh lumpur.

Seorang pegawai tentera India yang dikerahkan sebagai sebahagian daripada pasukan khas penyelamat terowong berkata pasukan penyelamat sedang menggali melalui “lumpur pekat”.

ANGGOTA keselamatan dan pasukan penyelamat bersiap sedia untuk membawa mangsa banjir menggunakan helikopter dari daerah Rasuwa, Nepal, pada 31 Ogos 2026, untuk dihantar bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kathmandu. Foto AFP

Beliau memberitahu AFP bahawa beliau “masih berharap” terdapat mangsa yang terselamat di dalamnya.

Kementerian Dalam Negeri Nepal berkata seramai 20,600 anggota telah dikerahkan dan lebih 3,100 orang telah diselamatkan dari kawasan yang dilanda bencana.

Anggota tentera dilihat menurunkan mayat mangsa dari helikopter di Daerah Nuwakot dan Rasuwa, Nepal.

Di sebalik kengerian itu, terdapat juga sinar harapan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikeluarkan dari lumpur berjaya disatukan semula dengan ibu bapanya selepas polis menemukannya sedang menangis memanggil ibunya.

“Badannya terperangkap dalam lumpur, tetapi kepalanya berada di luar,” kata jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Nepal, Netra Bahadur Karki, kepada AFP.

“Dia sudah tidak berada dalam keadaan berbahaya dan sedang menjalani pemulihan di hospital.”

“Iklim yang berubah”

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata bencana itu berpunca daripada keruntuhan glasier.

Perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko bencana seumpama itu.

“Rakyat Nepal merupakan antara mangsa utama perubahan iklim dan kesannya,” kata Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal.

Para saintis berkata banjaran Himalaya, rangkaian gunung tertinggi di dunia, mencair dengan lebih pantas apabila suhu global meningkat.

Keperluan bantuan amat besar selepas seluruh komuniti dihanyutkan.

“Ini merupakan bencana yang masih berkembang,” kata pegawai Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Abiodun Banire, kepada AFP, sambil berkata keperluan puluhan ribu orang yang terjejas amat besar.

Jalan raya musnah, loji janakuasa rosak dan berpuluh-puluh jambatan runtuh.

“Terlalu banyak cabaran,” kata pegawai polis E. Hawadi di daerah Nuwakot yang terjejas teruk.

Bilik Mayat Melimpah

Dengan bilik mayat yang sudah penuh, Nepal mula mengebumikan sebahagian daripada ratusan mayat yang ditemukan selepas sampel DNA diambil supaya keluarga dapat menuntut jasad mereka kemudian.

Di daerah Chitwan, saudara-mara yang berkabung membakar sebahagian mayat mangsa, manakala di kampung berhampiran sungai seperti Devighat, mangsa yang terselamat berusaha menyelamatkan apa-apa barangan yang masih ada dari rumah mereka yang musnah.

Kathmandu merayu bantuan antarabangsa dengan menyatakan Nepal memerlukan “lebih daripada 1,000” unit peti sejuk beku untuk menyimpan mayat.

Keluarga yang berduka melihat imej mayat pada skrin di pusat komuniti dalam usaha mengenal pasti anggota keluarga mereka.

Shobha Adhikary, di bandar Bharatpur di selatan Nepal, memberitahu seorang penyelaras tempatan bahawa beliau percaya salah satu imej tersebut menunjukkan sahabat baiknya sejak kecil.

“Ia kelihatan seperti dia, sudah pasti,” katanya sambil menunjukkan gambar seorang lelaki pertengahan umur yang sedang tersenyum.

Dalam senarai individu yang hilang di Nepal terdapat 592 warga asing, termasuk pelancong yang datang untuk melakukan aktiviti pendakian gunung serta jemaah Hindu yang mencari ketenangan rohani di Gunung Kailash yang dianggap suci di Tibet.

Di China, Tibet sebahagian besarnya tidak dapat diakses oleh wartawan asing dan pihak berkuasa China merupakan satu-satunya sumber maklumat.

Lebih 2,000 anggota terbabit dalam operasi menyelamat di sana, namun mereka berdepan cabaran besar dan bergerak perlahan menuju ke pusat bencana.

China berkata 16 orang maut di Tibet, manakala 546 lagi masih hilang.

Kumpulan advokasi Tibet dalam buangan mempersoalkan kenyataan China berhubung bencana itu.

Tencho Gyatso, presiden International Campaign for Tibet, menggesa China mendedahkan “maklumat lengkap dan boleh disahkan mengenai kerosakan serta jumlah korban”.

Kementerian Luar China berkata “penyampaian maklumat telah dilakukan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya”, serta menolak laporan antarabangsa yang mendakwa negara itu tidak melaporkan jumlah kematian sebenar. – AFP