KUCHING: Kualiti udara di Sarawak berada pada tahap membimbangkan pagi ini apabila dua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat berbahaya setakat 8.00 pagi.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, IPD Serian mencatat bacaan tertinggi 408, diikuti Kuching dengan 407, sekali gus kedua-duanya berada dalam kategori sangat berbahaya.
Enam lagi kawasan merekodkan tahap berbahaya, iaitu Lubok Antu dengan bacaan 392, Lundu (384), Tebedu (377), Samarahan (372), Sri Aman (361) dan Kanowit (343).
Sementara itu, enam kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing Sarikei (333), Sibu (309), Betong (264), Mukah (234), Bintulu (232) dan Samalaju (225).
Enam kawasan lain pula merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu ILP Miri (187), Miri (180), Kapit (178), Limbang (166), Lawas (157) dan Bario (150).
Tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap sederhana atau baik setakat 8.00 pagi.
Bacaan antara 301 hingga 400 dikategorikan sebagai berbahaya, manakala bacaan 401 hingga 500 berada pada tahap sangat berbahaya berdasarkan skala yang dipaparkan dalam data berkenaan.
Keadaan itu menunjukkan pencemaran udara masih serius di beberapa kawasan Sarawak, terutama di bahagian selatan negeri.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan udara terus merosot.
Shikin Mahmud





