Penganjur bebas tangguh, batal aktiviti jika IPU bawah 500 – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SDMC berkaitan keadaan jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri hari ini.

PETRA JAYA: Penganjur acara dan aktiviti yang dijadualkan berlangsung ketika situasi jerebu masih belum mencapai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 500 diberi pertimbangan untuk menentukan sama ada program berkenaan perlu diteruskan, ditangguhkan atau dibatalkan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya akan memberikan nasihat berdasarkan keadaan semasa, namun keputusan berhubung penganjuran aktiviti di bawah paras tersebut diserahkan kepada pihak penganjur.

“Apabila ia di bawah paras itu, JPBNS akan memberi nasihat sama ada mahu menangguhkan ataupun membatalkan, dan perkara itu kita serahkan kepada penganjur.

“Tetapi apabila sampai 500 dan darurat diisytiharkan, semua aktiviti perlu dihentikan kerana keadaan itu sangat berbahaya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS berkaitan situasi jerebu di Pusat Kawalan Bencana Negeri di Petra Jaya, hari ini.

Menurut Uggah, sekiranya bacaan IPU mencecah 500, keadaan berkenaan akan dikategorikan sebagai memerlukan pengisytiharan darurat, dengan prosedur selanjutnya perlu dirujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata, pengisytiharan berkenaan pula adalah secara setempat, bergantung kepada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU 500 dan bukan secara automatik melibatkan seluruh Sarawak.

Katanya, sekiranya darurat dilaksanakan, semua aktiviti perlu dihentikan kerana keadaan tersebut memberi risiko besar kepada kesihatan orang ramai.

Bagaimanapun, Uggah berkata pihak penganjur perlu menggunakan pertimbangan sewajarnya walaupun bacaan IPU masih di bawah paras 500, terutama apabila sesuatu program melibatkan warga emas dan golongan rentan.

“Saya tahu ini isu yang agak kontroversi, tetapi saya harap rakyat Sarawak dapat memahami bahawa kita juga tidak mahu menimbulkan kesulitan yang tidak perlu kepada sesiapa.

“Tetapi kalau pilihannya antara kesihatan dengan sesuatu acara, kita berharap penganjur melihat kemungkinan risiko terhadap kesihatan, terutama apabila melibatkan warga emas, golongan rentan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk menangguhkan atau membatalkan sesuatu program perlu mengambil kira tahap pendedahan peserta kepada jerebu serta risiko kesihatan yang mungkin timbul.

Uggah pada masa sama berharap keadaan jerebu tidak mencapai bacaan IPU 500, walaupun beberapa kawasan di Sarawak kini sudah merekodkan bacaan pada tahap berbahaya.