MIRI: Kebakaran belukar seluas kira-kira empat hektar di kawasan Bypass Kuala Baram-Senadin di sini mencetuskan kepulan asap tebal sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.41 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran benar-benar berlaku dengan kawasan belukar seluas kira-kira 4.05 hektar sedang terbakar dan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan.
“Kerja-kerja pemadaman agak sukar berikutan asap tebal selain api marak dengan pantas akibat tiupan angin laut,” katanya.
Menurutnya, selepas penilaian awal dilakukan, anggota bomba menggunakan satu aliran hos sepanjang kira-kira 300 meter dengan satu nozel bagi menjalankan operasi pemadaman.
Katanya, bekalan air turut diperoleh daripada pili bomba bagi memastikan operasi dapat dijalankan secara berterusan.
“Operasi dikawal pada 7.45 malam dan tamat sepenuhnya pada 8.30 malam,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling




