Pengguna bot kecil dinasihat tangguh perjalanan sungai

Facebook
WhatsApp
DATUK Henry Harry Jinep ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan pasangan wartawan di Dewan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Pengguna bot kecil di Sarawak, khususnya penduduk kampung, dinasihatkan supaya menangguhkan sementara perjalanan di sungai berikutan keadaan jerebu yang boleh menjejaskan jarak penglihatan dan meningkatkan risiko kemalangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pengguna sungai dan laut sejak dua minggu lalu supaya lebih berhati-hati ketika keadaan jerebu semakin buruk.

Katanya, keadaan jarak penglihatan yang terhad akibat jerebu boleh meningkatkan risiko pelanggaran antara bot, terutama membabitkan bot-bot kecil yang digunakan penduduk kampung.

“Pada dua minggu yang lepas, kita telah keluarkan satu notis kepada pengguna air ataupun laut untuk berhati-hati, terutamanya orang kampung yang menggunakan bot kecil.

“Itu amat berbahaya kalau jerebu dan indeks terlalu tinggi kerana ia boleh mengakibatkan pelanggaran sesama sendiri. Jarak penglihatan yang kita boleh nampak terlalu sukar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan pasangan wartawan di Dewan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Henry menasihatkan pengguna bot, termasuk pemilik dan pengendali, supaya mengutamakan keselamatan dan sekiranya boleh menangguhkan sementara rancangan perjalanan di sungai atau perairan.

Beliau berkata keadaan di Sarawak ketika ini khususnya di Kuching semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) mencecah 299 hari ini.

“Setakat ini, memang Sarawak ini dalam keadaan yang tidak selamatlah. Terutamanya di Kuching, hari ini telah mencecah sampai 299 dan itu mungkin sudah dalam keadaan amat berbahaya.

“Jadi kita kurangkan aktiviti, terutamanya yang melibatkan perjalanan sungai,” katanya.

Bagaimanapun, Henry berkata situasi berkenaan berada di luar kawalan pihaknya, justeru orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko keselamatan.

Beliau turut mengingatkan pengguna sungai supaya tidak mengambil mudah keadaan jarak penglihatan yang terhad ketika mengendalikan bot dalam situasi jerebu.

Oleh Shahrul Qaizat