BETONG: Penduduk di beberapa kawasan di Bahagian Betong berdepan gangguan dan pengurangan bekalan air susulan cuaca panas dan kering berterusan yang menyebabkan paras sumber air mentah semakin menurun.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu bekalan air yang menjejaskan pengguna di kawasan berkenaan.
Menurut siaran media JBALB, keadaan itu berpunca daripada cuaca panas dan kering berpanjangan serta ketiadaan hujan mencukupi sejak awal Ogos 2026.
Situasi berkenaan menyebabkan paras air di beberapa sumber air mentah semakin rendah, sekali gus menjejaskan proses pengambilan air mentah untuk dirawat.
Keadaan itu turut menyebabkan kapasiti pengeluaran air terawat terpaksa dikurangkan daripada kapasiti operasi biasa di beberapa loji rawatan air di Bahagian Betong.
Antara loji yang terkesan ialah Loji Rawatan Air Lichok berkapasiti 15 juta liter sehari, Loji Rawatan Air Acute Lichok (10 juta liter sehari), Loji Rawatan Air Spaoh (lima juta liter sehari), Loji Rawatan Air Lubau (30 juta liter sehari) dan Loji Rawatan Air Acute Lubau (10 juta liter sehari).
Kawasan yang terjejas meliputi Debak, Spaoh, Kabong, Roban, Brayang, Nyabor, Gerigat, Perpat, Sesang, Tuie dan Serabang.
Pengguna di kawasan terbabit mungkin mengalami pengurangan bekalan, tekanan air rendah serta gangguan bekalan secara berkala atau tidak berjadual.
Tempoh bekalan air juga dijangka tidak konsisten, khususnya di kawasan lebih tinggi dan di hujung sistem agihan.
Menurut JBALB, pemulihan bekalan akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada keadaan sumber air mentah serta kapasiti operasi loji rawatan air.
Bagi memastikan bekalan dapat disalurkan sebaik mungkin, JBALB sentiasa memantau paras sumber air mentah dan kapasiti loji rawatan secara berterusan.
Operasi loji serta sistem agihan turut dioptimumkan mengikut keadaan semasa, selain pengagihan bekalan air menggunakan lori tangki dilaksanakan bagi kawasan yang mengalami gangguan serius.
Premis kritikal dan kawasan yang mengalami gangguan paling teruk turut diberikan keutamaan dalam usaha memastikan keperluan asas penduduk terus dipenuhi.
Sehubungan itu, orang awam di kawasan terjejas dinasihatkan menggunakan air secara berhemah, mengelakkan pembaziran dan menyimpan bekalan air secukupnya bagi keperluan asas.
Pengguna juga diminta mengurangkan penggunaan air untuk aktiviti tidak penting serta mengelakkan penyimpanan air secara berlebihan yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna lain.
JBALB memohon kerjasama dan kesabaran orang ramai sepanjang tempoh cuaca kering itu, dengan sebarang perkembangan lanjut berkaitan gangguan bekalan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi jabatan.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan berkaitan bekalan air boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211.
Oleh Adi Safarman





