SPAOH: Operasi memadam kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang, di sini akhirnya, ditamatkan hari ini selepas tujuh hari susulan kejayaan pasukan bomba memadam keseluruhan kawasan terbakar seluas 35 hektar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi hari ketujuh pada hari ini memberi tumpuan kepada pemadaman di beberapa sektor yang masih berisiko, selain memastikan tiada lagi punca asap atau kebakaran baharu.
Menurutnya, operasi bermula pada 8.15 pagi dengan pasukan pemadaman bergerak ke lokasi untuk menjalankan kerja pemadaman di bahagian tepi jalan Sektor B dan D menggunakan pam, 300 kaki hos, pembahagi serta dua nozel, dengan sumber air dari parit terbuka.
“Sementara itu, Team 2 ditugaskan menuju ke kawasan hujung Sektor A bagi menjalankan kerja pemadaman dan kawalan kebakaran.
“Kerja pemadaman turut dibantu sebuah jengkaut Kobelco yang digunakan untuk membersihkan kawasan dan membuka laluan ke hujung Sektor A bagi memudahkan pasukan bomba menjalankan operasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

PGO JBPM Sarawak berkata, kebakaran di hujung Sektor A berjaya dipadam sepenuhnya, manakala pemantauan menggunakan dron oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mendapati tiada lagi punca asap atau kebakaran di sekitar kawasan berkenaan.
Keseluruhan Sektor A hingga F turut disahkan selesai sepenuhnya, termasuk beberapa kawasan baharu yang terbakar di Sektor E dan F serta penjuru Sektor C dan E.
“Jumlah keluasan kebakaran ialah 35 hektar dan keseluruhan kawasan berkenaan berjaya dipadam dengan tiada lagi kawasan yang belum dipadam,” menurut kenyataan itu.
Operasi ditutup secara rasmi pada 4.00 petang dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam di lokasi kejadian.
Walaupun operasi utama telah ditamatkan, pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kebakaran atau titik panas kembali muncul di kawasan berkenaan.
Operasi yang diketuai PBKI TBK2 Abang Muhd Fhazil Abang Abdul Manaf itu melibatkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, bersama tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Rela serta sebuah jengkaut.
Antara cabaran yang dihadapi sepanjang operasi ialah laluan ke lokasi yang sempit dan sukar dilalui, ketiadaan sumber air berhampiran kawasan kebakaran serta liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.
Kebakaran tersebut dilaporkan bermula pada 22 Ogos lalu selepas panggilan kecemasan diterima pada 2.44 petang dengan lokasi kejadian terletak kira-kira 37 kilometer dari BBP Betong.
Kejayaan memadam keseluruhan kawasan terbakar selepas operasi selama tujuh hari itu sekali gus memastikan kebakaran hutan gambut berkenaan tidak terus merebak ke kawasan berhampiran.
Oleh Adi Safarman





