Projek mitigasi banjir RM40 juta dirancang di DUN Lingga

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Projek BDDA bagi kawasan DUN Lingga di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam. Foto ADUN Lingga

BETONG: Projek mitigasi banjir dengan anggaran peruntukan RM40 juta antara inisiatif utama yang diberi perhatian bagi memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga terus diperkasakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek berkenaan kini dalam perancangan, selain beberapa projek kemudahan awam dan pembangunan lain yang sedang melalui proses reka bentuk serta tindakan susulan oleh agensi pelaksana.

Menurut beliau, perkembangan setiap projek perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan sebarang isu atau kekangan yang dikenal pasti dapat ditangani dengan segera.

“Setiap isu dan kekangan yang dikenal pasti perlu diberikan perhatian serta tindakan susulan sewajarnya oleh agensi berkaitan supaya pelaksanaan projek dapat dipercepatkan dan bergerak mengikut perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Projek Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan DUN Lingga di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.

Dayang Noorazah berkata mesyuarat itu memberi tumpuan kepada status dan kemajuan semasa projek pembangunan di bawah BDDA, merangkumi projek yang berada pada peringkat reka bentuk, pelaksanaan serta perancangan.

Katanya, penyelarasan antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan dapat diterjemahkan kepada projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Kerjasama dan penyelarasan berterusan antara semua agensi amat penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi impak kepada masyarakat.

“Pada masa sama, pembangunan di DUN Lingga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan mengambil kira keperluan semasa penduduk,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan susulan terhadap projek yang sedang dilaksanakan perlu diperkasakan bagi memastikan perancangan pembangunan tidak terjejas akibat sebarang kelewatan.

Langkah itu sekali gus diharap dapat memastikan manfaat pembangunan dan kemudahan awam dapat dinikmati rakyat di kawasan DUN Lingga secara berperingkat.

Oleh Adi Safarman