Kepentingan penjagaan kesihatan, melalui pemakanan bersih dan berkhasiat

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH… Pegawai KEMAS Marudi, Therry Noel George Anyi menyampaikan sijil penghargaan kepada penceramah Sains Pemakanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Marudi, Hadirah Zainalabidin. Foto Jiku Juguong

MARUDI: Kursus Dapur Sihat Keluarga merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemakanan sihat, penyediaan makanan yang bersih serta amalan gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga dan komuniti.

Pegawai Kemas Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi, berkata kursus tersebut memberi pendedahan berkaitan penyediaan menu seimbang, teknik penyediaan makanan yang selamat serta pemilihan bahan makanan berkhasiat bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, menurut Therry, kursus ini juga bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dalam institusi keluarga, di samping menggalakkan penglibatan komuniti melalui aktiviti pendidikan, demonstrasi masakan serta perkongsian ilmu berkaitan kesihatan dan nutrisi.

TENAGA pengajar KEMAS bagi Program Kursus Dapur Sihat Keluarga bergambar kenangan bersama hidangan yang diajar kepada peserta.

Katanya, objektif kursus ini adalah untuk membantu keluarga mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang serta gaya hidup sihat, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan setiap ahli keluarga.

Selain itu, jelasnya, kursus ini juga bertujuan memperkukuh hubungan kekeluargaan melalui penglibatan bersama dalam penyediaan makanan serta amalan gaya hidup sihat.

Malah, jelasnya, kursus ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang bersih, selamat dan berkhasiat.

PESERTA Kursus Dapur Sihat Keluarga merakam kenangan sebaik selesai program bersama Pegawai Kemas dan Ketua-Ketua Masyarakat.

Di samping itu, Therry turut menekankan bahawa antara objektif lain kursus ini diadakan adalah untuk melahirkan komuniti yang lebih prihatin terhadap amalan pemakanan sihat serta mampu menjadi contoh kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis penangguhan Program Kursus Dapur Sihat Keluarga anjuran Unit Pembangunan Komuniti, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Baram, yang berlangsung di Thomson Bistro, Kampung Pemindahan Marudi, hari ini.

Seramai 20 peserta menyertai program tersebut, manakala ceramah dalam program berkenaan disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Marudi, Hadirah Zainalabidin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penghulu Mohammad Majid, Ketua Kampung Pemindahan, Man Galau, serta Ketua Kampung Muhibbah, Pemindahan, KK Mika Mus Agan.

Oleh Jiku Juguong