Amaran banjir baharu di Nepal-Tibet, 1,400 masih hilang

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan rumah-rumah ditenggelami lumpur selepas banjir kilat melanda Devighat, Perbandaran Bidur di Daerah Nuwakot, Nepal, pada 27 Ogos 2026. Agensi bencana Nepal berkata 823 orang masih belum dapat dihubungi pada 27 Ogos, lebih 24 jam selepas banjir maut melanda kawasan sempadan dengan Tibet. Foto AFP

BIDUR, Nepal: China dan Nepal memberi amaran mengenai risiko banjir baharu, sekali gus menyukarkan usaha pasukan penyelamat pada Jumaat untuk mencari lebih 1,400 orang yang masih hilang selepas banjir besar dan tanah runtuh yang meragut nyawa menghanyutkan seluruh perkampungan di sepanjang kawasan terpencil sempadan Himalaya kedua-dua negara.

Pasukan kecemasan telah menemui 392 mayat selepas dinding air dan lumpur sejuk yang dahsyat, seakan-akan tsunami, melanda bandar-bandar dalam arus lumpur deras, menimbus rumah, merosakkan jambatan dan empangan serta menghanyutkan kenderaan.

Sebahagian besar mangsa yang masih hilang ialah pelancong asing, termasuk pendaki di negara Himalaya itu dan puluhan jemaah Hindu yang mengunjungi Gunung Kailash yang dilitupi salji dan dianggap suci di Tibet.

PENDUDUK tempatan berjalan melepasi rumah-rumah yang ditenggelami lumpur selepas banjir kilat melanda Devighat, Perbandaran Bidur di daerah Nuwakot, Nepal, pada 27 Ogos 2026. Foto AFP

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata bencana itu berpunca daripada keruntuhan glasier yang mencetuskan aliran besar serpihan berais.

Perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko banjir tasik glasier dan keruntuhan glasier.

Pasukan kecemasan bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat di kawasan terjejas, manakala anggota tentera Nepal menggunakan anjing pengesan untuk mencari mayat yang tertimbus di bawah timbunan lumpur.

Bagaimanapun, usaha mereka terjejas akibat kebimbangan mengenai kemungkinan banjir baharu apabila air yang terperangkap oleh timbunan besar serpihan yang menyekat lembah berisiko melimpah secara tiba-tiba.

Pihak berkuasa China memberi amaran bahawa tasik yang terbentuk akibat tanah runtuh pada Rabu menghadapi “risiko tinggi untuk pecah dan menyebabkan air banjir mengalir ke kawasan hilir”, menurut media kerajaan lewat Khamis.

Bahagian Ramalan Banjir Kathmandu pula mengeluarkan “notis khas” secara berasingan, memberi amaran mengenai tasik yang semakin membesar di belakang timbunan serpihan akibat tanah runtuh serta menggesa orang ramai supaya berwaspada pada tahap tertinggi.

ANGGOTA pasukan penyelamat membawa penduduk yang terkandas menggunakan jentolak selepas banjir kilat melanda kawasan Devighat di daerah Nuwakot, Nepal, pada 27 Ogos 2026. Foto AFP

Mangsa yang terselamat di sebuah hospital sementara di Nepal terpaksa menanggung penantian penuh derita untuk mendapatkan berita mengenai orang tersayang yang masih hilang.

Kula Priya berkata dia kehilangan segala-galanya ketika banjir besar melanda, termasuk anak sulungnya yang masih hilang.

“Saya tidak peduli tentang harta benda. Saya cuma mahu anak saya kembali. Jika ada antara kamu yang boleh menyelamatkan anak saya, tolong lakukan untuk saya,” katanya.

“Saya tidak tahu hendak pergi ke mana. Kami mempunyai tiga rumah, semuanya dihanyutkan banjir.” – AFP