KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lepas.
Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.
Perkara itu sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan serupa di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap tiga bulan sekali sehingga perbicaraan selesai, selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Mahkamah menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memaklumkan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh jamin, namun tidak membantah jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan sementara perbicaraan diselesaikan.
“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan ditetapkan pada jumlah RM800,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia,” katanya.
Berita lanjut menyusul





