Banjir Nepal: 31 warga asing diselamatkan, 359 mayat ditemukan

Facebook
WhatsApp
FOTO fail rumah-rumah yang sebahagiannya ditenggelami banjir di Trishuli Bazar, daerah Nuwakot, Nepal, susulan banjir besar pada 26 Ogos 2026. Foto AFP

HYDERABAD: Seramai 31 warga asing diselamatkan di Nepal ketika angka korban akibat banjir yang membawa kemusnahan besar pada Rabu meningkat kepada 359 orang setakat petang Khamis.

Tiada seorang pun warga asing yang diselamatkan dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia, menurut rekod terkini yang dikeluarkan Lembaga Pelancongan Nepal setakat 5.30 petang waktu tempatan (7.45 malam waktu Malaysia).

“Usaha menyelamat, pemindahan dan pengesahan masih diteruskan dengan penyelarasan bersama agensi pelancongan, pemandu pelancong, pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan,” menurut lembaga itu.

Daripada warga asing yang diselamatkan, 11 merupakan warga India, empat warga Korea Selatan, masing-masing dua dari Rusia dan Itali, seorang warga Bulgaria dan seorang warga Switzerland, manakala status lapan lagi belum disahkan.

Ratusan warga asing, termasuk 55 rakyat Malaysia, serta rakyat Nepal masih belum dapat dikesan susulan bencana yang berpunca daripada runtuhan glasier di kawasan sempadan Nepal-China.

Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi dan Trishuli melanda banyak daerah di Nepal.

Jumlah mayat yang ditemukan ialah 132 di Chitwan, diikuti 82 di Nawalparasi East, 33 di Dhading, 30 di Gorkha, 28 di Nuwakot, 22 di Tanahun, 17 di Rasuwa dan 15 di Nawalparasi West, menurut laporan Kathmandu Post yang memetik jurucakap Polis Nepal Abi Narayan Kafle. – Bernama