KUCHING: Seramai 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak dalam Ops Mahir yang menyasarkan sektor pembinaan di dua lokasi sekitar Kuching, hari ini.
Operasi yang dijalankan Pejabat Imigresen Bahagian Kuching dari 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan pemeriksaan terhadap 79 individu di tapak pembinaan di sekitar Jalan Lapangan Terbang dan Jalan Datuk Bandar Mustapha.

Kesemua 25 individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Operasi berkenaan merupakan operasi penguatkuasaan bersasar terhadap sektor pembinaan yang dijalankan secara serentak di seluruh negara bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen dalam kalangan pekerja dan majikan.
JIM Sarawak memaklumkan operasi di Kuching itu turut dilaksanakan hasil maklumat aduan awam serta risikan yang diperoleh pihak imigresen.

Jabatan berkenaan berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dengan memberi tumpuan kepada sektor yang dikenal pasti berisiko berlaku pelanggaran undang-undang imigresen.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada JIM sekiranya mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen.
Oleh Shikin Mahmud




