LUBOK ANTU: Dua lelaki berusia 29 dan 36 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam Op Tapis Khas di kawasan Engkilili, petang semalam.
Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu dalam operasi berkenaan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Seorang daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan Lubok Antu serta Engkilili.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu polis mengekang kegiatan berkenaan.
“IPD Lubok Antu amat mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat tentang kegiatan dadah di kawasan komuniti masing-masing sebagai usaha membantu pihak polis membanteras aktiviti dadah dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman Daerah Lubok Antu terus terjamin,” katanya.
Pihak polis turut menggesa masyarakat supaya tidak berdiam diri sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman




