Sabri Yunus, Fedtri Yahya sambung pengajian di UPSI melalui APEL.Q

Facebook
WhatsApp
SABRI Yunus dan Fedtri Yahya menerima surat tawaran melanjutkan pengajian di UPSI melalui laluan APEL.Q. Foto UPSI

IPOH: Hasrat pelakon dan pengarah terkenal Mohd Sabri Yunus kembali menyambung pengajian selepas lebih empat dekad kini tercapai apabila beliau menerima surat tawaran Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.

Dalam kenyataan hari ini, UPSI memaklumkan Mohd Sabri, 65, menerima tawaran itu melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q).

Turut menerima surat tawaran ialah personaliti televisyen dan pengacara Ahmad Fedtri Yahya, 45, bagi mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu melalui laluan sama, dengan kedua-duanya menjadi pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Menurut kenyataan itu, Mohd Sabri pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di UPSI semalam berkata peluang itu amat bermakna selepas dua percubaannya untuk menyambung pengajian di universiti sebelum ini tidak kesampaian, iaitu ketika beliau berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1980-an dan awal 1990-an.

“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak masuk ke DBP pada 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya.

Mohd Sabri berkata meskipun gagal menyambung pengajian secara formal, proses menimba ilmu tidak pernah terhenti kerana menganggap setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang boleh memberikan manfaat dan pengalaman.

Menerusi pengajian APEL.Q, beliau mahu menjalankan kajian mengenai pantun khusus dalam dikir barat, termasuk menjelaskan fungsi dan makna sebenar istilah “tukang karut” yang sering disalah fahami masyarakat.

Sementara itu, Ahmad Fedtri berkata beliau teruja menjadi warga UPSI dan memilih bidang bahasa Melayu kerana percaya cara seseorang menggunakan bahasa mempunyai kaitan rapat dengan tahap tamadun serta keilmuan masyarakat.

“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya menerusi kenyataan sama.

Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu diperkasakan khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini berdepan perubahan gaya komunikasi akibat pengaruh media sosial dan teknologi digital.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kehadiran Mohd Sabri dan Ahmad Fedtri sebagai warga universiti memberi peluang kepada warga UPSI untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang seni, bahasa serta budaya.

Md Amin berkata pengalaman tokoh berkenaan juga penting dalam membantu usaha membina semula jati diri budaya bangsa, khususnya menerusi interaksi mereka dengan kira-kira 25,000 pelajar UPSI yang bakal menjadi guru dan berperanan membentuk generasi muda. – Bernama