520 Surat Hak Milik Tanah NCR diserah kepada 429 penerima di Saratok

Facebook
WhatsApp
DATUK Len Talif Salleh bergambar kenangan bersama para penerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak pada majlis penyerahan bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

SARATOK: Seramai 429 penerima di kawasan Krian menerima 520 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, sekali gus memberi kepastian terhadap pemilikan tanah yang diwarisi dan diusahakan sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata penyerahan SHT itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diukur, direkodkan, dilindungi dan diberikan hak milik sewajarnya apabila memenuhi syarat.

Beliau berkata, tanah bukan sekadar aset fizikal, sebaliknya merupakan warisan, sumber kehidupan dan aset ekonomi yang mempunyai nilai besar kepada keluarga serta generasi akan datang.

“Pada hari ini bukan sekadar hari menerima dokumen. Hari ini ialah hari menerima satu kepastian, satu pengiktirafan dan satu amanah untuk masa depan,” katanya.

DATUK Len Talif Salleh menyampaikan Surat Hak Milik Tanah (SHT) kepada penerima pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyerahan itu melibatkan 179 SHT kepada 121 penerima dari kawasan Entebu/Selambong (Awik-Krian L.D), manakala Kabo, Budu, Krian dan Saratok melibatkan 289 SHT kepada 264 penerima.

Sebanyak 52 SHT lagi diserahkan kepada 44 penerima dari Kampung Sepuk, Krian Tengah.

Len Talif berkata pencapaian Program Pengukuran Tanah NCR turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya melaksanakan pengukuran perimeter seluas kira-kira 1.24 juta hektar di seluruh Sarawak dari 2010 hingga 31 Julai 2026.

Daripada jumlah itu, katanya, seluas 967,842 hektar telah diwartakan, manakala sebanyak 111,885 lot individu melibatkan kawasan seluas 134,079 hektar telah diukur.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39,670 lot telah dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, melibatkan kawasan seluas 54,960 hektar.

“Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Sarawak bukan sekadar bercakap mengenai isu tanah NCR, tetapi terus mengambil tindakan dan melaksanakan kerja pengukuran serta pemberimilikan tanah secara berterusan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pengukuran tanah NCR hanya dilaksanakan selepas menerima permohonan daripada penuntut tanah dan tertakluk kepada semakan berdasarkan peruntukan undang-undang serta bukti yang sahih.

Katanya, tanah yang masih mempunyai pertikaian atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah tidak akan diukur sehingga perkara berkenaan diselesaikan.

DATUK Len Talif Salleh menyampaikan Surat Hak Milik Tanah (SHT) kepada penerima pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian, hari ini. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik dan penuntut tanah NCR supaya memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei, termasuk bersedia untuk kerja pengukuran, membantu mengenal pasti sempadan tanah serta memastikan pemilik tanah bersempadan hadir ketika pengukuran dilaksanakan.

Len Talif turut menegaskan bahawa pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak bukan bertujuan mengambil atau merampas tanah rakyat, sebaliknya untuk mengenal pasti, merekod, melindungi dan mengurus kawasan NCR secara lebih teratur.

Beliau berkata SHT di bawah Seksyen 18 turut memberi beberapa keistimewaan kepada pemilik, termasuk tidak dikenakan cukai tanah dan dikecualikan daripada bayaran premium, selain tempoh pegangan yang kekal.

Beliau pada masa sama menasihatkan penerima supaya tidak mudah menjual tanah bagi mendapatkan keuntungan jangka pendek, sebaliknya memanfaatkan tanah tersebut sebagai aset ekonomi yang mampu menjana pendapatan berterusan.

“Kita mahu tanah yang diwarisi bukan sekadar kekal sebagai aset, tetapi berkembang menjadi sumber kekuatan ekonomi keluarga,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup.

Oleh Adi Safarman