Tiga bekas PM serentak di mahkamah, wartawan kongsi pengalaman unik

Facebook
WhatsApp
BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi bicara kes pertuduhuan penyalahgunaan kedudukan melibatkan aktiviti haram hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan ramai hari ini dengan kehadiran tiga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berdepan prosiding kes masing-masing.

Wartawan veteran Meja Mahkamah portal Free Malaysia Today V. Anbalagan menggambarkan situasi berkenaan sebagai satu liputan berita yang amat unik dan belum pernah terjadi sepanjang penglibatannya dalam bidang kewartawanan.

“Hari ini dalam sejarah, tak pernah terjadi tiga bekas Perdana Menteri berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada satu masa yang sama. Bagi saya, sesiapa sahaja pengamal media yang membuat liputan hari ini, mereka sebenarnya menjadi sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Beliau berkata kehadiran serentak bekas kepimpinan utama negara di mahkamah pada hari yang sama sebagai sesuatu yang luar biasa, bukan sahaja di Malaysia malah sukar dilihat di negara lain.

“Saya rasa insiden seperti ini, mungkin tidak akan berulang. Ia satu rekod yang sukar dipecahkan,” katanya.

Pegawai Berita Bernama TV Siti Zanariah Nor Zin yang berpengalaman 16 tahun dalam bidang kewartawanan teruja kerana dapat membuat liputan yang disifatkannya amat jarang-jarang berlaku.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kehadiran mereka dan barisan peguam secara berperingkat membolehkan ruang masa untuk kami menghantar kemas kini perkembangan ke ibu pejabat.

“Situasi terkawal di pekarangan mahkamah turut membolehkan pengamal media memantau pergerakan keluar masuk pihak-pihak yang terlibat sepanjang prosiding berlangsung,” katanya.

Seorang lagi petugas media daripada akhbar Utusan Malaysia Amirul Aiman Osman berkata “pertembungan” tiga bekas pemimpin tertinggi negara itu mencetuskan sedikit kerisauan kerana bimbang kesuntukan masa untuk membuat liputan yang dikehendaki.

“Meskipun keadaan agak riuh dan bersesak, kawalan keselamatan yang ketat berjaya memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku. Untuk prosiding hari ini, saya sudah menunggu sejak 7.00 pagi lagi,” katanya.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta mula sibuk sejak 7.00 pagi tadi dengan kehadiran pengamal media yang membuat liputan susulan kehadiran tiga bekas Perdana Menteri dalam prosiding mahkamah berasingan.

Jurukamera televisyen, jurugambar dan wartawan dilihat memenuhi kawasan mahkamah, masing-masing bersiap sedia mendapatkan perkembangan terkini serta reaksi daripada mereka.

Dari aspek keselamatan, seorang pegawai mahkamah yang tidak mahu dinamakan memaklumkan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul serta petugas keselamatan mahkamah digerakkan bagi membantu kawalan keselamatan di kompleks berkenaan.

“Kami sudah membuat persediaan rapi sejak petang semalam bagi memastikan semua pergerakan bekas Perdana Menteri serta kawalan pekarangan mahkamah berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Pihak polis dari Istana Kehakiman turut turun padang memberikan bantuan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata bahagian kaunter pas keselamatan mengeluarkan antara tiga hingga enam jenis pas keselamatan melibatkan pelbagai kategori pengguna termasuk orang awam, pengamal media bagi galeri awam, serta pas khas untuk akses ke bilik pautan video.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota keselamatan Nik Zainab Jusoh berkata situasi pekarangan mahkamah kekal tenang dan terkawal hasil persediaan sejak semalam.

“Taklimat telah diadakan semalam bagi memastikan seluruh anggota bertugas berada dalam keadaan berwaspada serta bersiap sedia mendepani kehadiran ramai orang pada hari prosiding. Keutamaan pemantauan ditumpukan di tingkat atas terutamanya di hadapan bilik perbicaraan, manakala kawasan di aras bawah berada dalam keadaan stabil dan lancar,” katanya.

Pada hari ini, Najib hadir ke mahkamah bagi mendengar perbicaraan kes saman sivil USD5.64 bilion difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya terhadap beliau dan beberapa individu lain di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan pula menghadiri perbicaraan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, Ismail Sabri mengaku tidak bersalah dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Jan 2025.

Mengikut pertuduhan, harta yang gagal diisytiharkan itu termasuk wang tunai RM14.77 juta, jutaan wang dalam pelbagai mata wang asing, lima ketul jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu, seketul jongkong perak seberat 100 gram dan sekeping syiling emas seberat lima gram.

Ismail Sabri kemudian dilihat beredar dari kompleks mahkamah pada 11.43 pagi selepas proses pembayaran jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin selesai.- Bernama