PETALING JAYA: Pemberian sagu hati sebanyak RM100 sehari kepada sukarelawan yang menyantuni Orang Kurang Upaya (OKU) tentunya menaikkan semangat untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada golongan istimewa itu, kata Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 100 sukarelawan di bawah OKU Sentral yang memberikan khidmat secara percuma dalam memastikan proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) khusus untuk OKU berjalan lancar.
“Tentunya saya amat bersyukur kerana OKU Sentral banyak membantu sahabat-sahabat (OKU) di luar sana, terutama di PPV dan selama ini kami buat kerja secara sukarela.
“Jadi dengan sedikit sokongan yang diberikan, tentunya memudahkan pergerakan kami, cara kerja kami… ini dapat mencetus semangat kami untuk membantu OKU di luar sana,” katanya kepada Bernama selepas mengiringi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau operasi PPV pandu lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby Plantation, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam sidang medianya mengumumkan sukarelawan OKU juga akan menikmati peningkatan bayaran sagu hati sebanyak RM100 sehari sebagaimana dinikmati oleh sukarelawan kesihatan yang lain.
Mengulas lanjut, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, pihaknya tidak dapat mendaftarkan sukarelawan OKU Sentral di bawah Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) disebabkan tempoh pendaftaran telah tamat.
Bagaimanapun, katanya atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan, sukarelawan terbabit terus memberikan khidmat kepada OKU kerana menyedari golongan itu perlu dibantu agar mereka juga menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Walaupun sudah tutup kami tetap jalankan tugas demi membantu sahabat OKU kerana ramai yang perlukan sokongan terutama yang ada masalah fizikal selain jurubahasa.
“Sekarang kami buka (untuk menjadi sukarelawan), terutama yang ada pengalaman kerja kerana ia dapat membantu, mereka boleh salurkan pengalaman ketika berinteraksi dengan OKU,” katanya yang yakin jumlah sukarelawan OKU Sentral akan terus bertambah. – Bernama