ASAJAYA: Sebuah rumah kebun musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sebandi Ulu di sini, malam ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.20 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
Kebakaran melibatkan sebuah rumah kebun berstruktur tidak kekal berkeluasan kira-kira 30 x 24 kaki yang musnah 100 peratus.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua nozel serta pam angkut, manakala bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka berhampiran lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada 9.10 malam sebelum anggota menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa bara bagi memastikan tiada lagi punca api.
Operasi yang melibatkan enam anggota dan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat Ringan (LFRT) itu tamat sepenuhnya pada 10.05 malam.
Komander Operasi ialah Suhardi Razali, manakala Komander Operasi Kanan ialah Jusmandi Jamaie.




