TYT, Toh Puan tinjau kemudahan Pusat Sains Sarawak

Facebook
WhatsApp
LAWATAN...Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) di Petra Jaya, Kuching, hari ini. Foto Astana Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) di Petra Jaya, di sini.

Ketibaan pasangan berkenaan disambut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, bersama isteri, Datin Sri Kelly Rebid, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Haji Adana Haji Jed, serta barisan pengurusan dan pegawai kanan SSCiEX.

Turut bersama Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah anakanda mereka, Puan Hajah Sharifah Fariah dan Puan Hajah Sharifah Nong-Jasima.

Perkara itu dikongsikan menerusi laman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, dengan lawatan yang berlangsung lebih sejam itu menyaksikan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah meninjau beberapa galeri serta ruang pameran interaktif, termasuk Zon STEM Interaktif yang menampilkan pameran berasaskan aktiviti amali berkaitan bumi dan geologi, dinosaur, kepelbagaian biologi serta pelbagai paparan sains interaktif.

SAMBUTAN…Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, disambut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bersama isteri, Datin Sri Kelly Rebid, serta barisan pengurusan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) sempena lawatan rasmi di Petra Jaya, Kuching, hari ini. Foto Astana Sarawak

Pasangan berkenaan turut meninjau paparan khas yang menampilkan model pulau bahan kimia karbon rendah serta reka bentuk masa hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sepanjang lawatan, Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa kagum terhadap kemudahan dan pendekatan pembelajaran interaktif yang disediakan, yang dilihat mampu menarik minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi.

Beliau turut melihat kewujudan Pusat Sains Sarawak sebagai manifestasi komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain membangunkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.

Tun Wan Junaidi berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, pendidik, ibu bapa dan masyarakat umum sebagai platform untuk meneroka ilmu, mencetuskan minat terhadap sains dan teknologi serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

KENANGAN BERSAMA..Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bergambar kenangan bersama sukarelawan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) sempena lawatan rasmi di Petra Jaya, Kuching, hari ini. Foto Astana Sarawak

Beliau berkata, usaha memperkukuh pendidikan sains dan teknologi penting dalam mempersiapkan generasi muda Sarawak untuk mendepani cabaran masa hadapan yang semakin dipacu oleh perkembangan pesat sains, teknologi dan inovasi.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, pengurusan SSCiEX serta semua pihak yang terlibat atas sambutan dan penerangan sepanjang lawatan berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi