SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan polis selepas disyaki menjalankan kegiatan menjual nombor loteri awam haram di sekitar Pasar Saratok, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, lelaki beralamat di Sri Aman itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok ketika berada di dalam bangunan Pasar Saratok kira-kira 2.57 petang.
Menurutnya, tangkapan dilakukan selepas lelaki berkenaan disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian nombor loteri awam haram.
“Dalam serbuan itu, polis merampas satu keping keratan kertas yang tercatat nombor loteri awam haram, sejumlah wang tunai serta sebatang pen dakwat hitam jenama Faber-Castell.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku menjadi ejen jualan nombor loteri awam haram di sekitar Pasar Saratok sejak kira-kira seminggu lalu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
DSP Mathew berkata, suspek yang masih bujang dan bekerja sebagai pencuci kereta di Pasar Saratok itu dipercayai menjadikan kegiatan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek hanya berseorangan di dalam bangunan dan menyasarkan pelanggan di sekitar kawasan Pasar Saratok,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan air kencing terhadap suspek turut mendapati keputusan adalah negatif.
Semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan status kes kini selesai.
Oleh Adi Safarman





