Batal acara berdasarkan jangkaan IPU meningkat undang masalah – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
ABDUL Karim ketika mengulas isu pembatalan acara ketika bacaan IPU masih di bawah 200, sambil menegaskan keputusan sedemikian tidak wajar dibuat hanya berdasarkan jangkaan keadaan akan bertambah buruk. Foto UKAS

PETRA JAYA: Tindakan membatalkan sesuatu acara ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih di bawah paras 200 hanya berdasarkan jangkaan keadaan akan bertambah buruk boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada penganjur serta pihak yang terlibat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebarang keputusan berkaitan penganjuran acara perlu dibuat berdasarkan keadaan dan bacaan semasa, selain mengambil kira aspek keselamatan.

Katanya, pembatalan acara secara tergesa-gesa bukan sahaja memberi kesan kepada penganjur, malah peserta, pengunjung serta pelbagai pihak yang telah membuat persiapan lebih awal.

“Kalau IPU masih di bawah 200, tetapi kita batalkan kerana kita menjangka esok mungkin naik, ini akan menimbulkan banyak masalah kepada penganjur dan mereka yang terlibat.

“Kalau keadaan benar-benar memburuk, kita boleh buat keputusan berdasarkan keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sarawak di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Menurut Abdul Karim, aspek keselamatan tetap perlu menjadi keutamaan, namun keputusan membabitkan acara awam perlu dibuat secara berhemah dengan mengambil kira data semasa dan keadaan sebenar di lokasi.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan penganjur menanggung kerugian serta memastikan persiapan yang telah dibuat tidak terjejas tanpa keperluan.

“Kalau bacaan sudah tinggi dan membahayakan, kita ambil tindakan. Tetapi kalau masih di bawah paras yang ditetapkan, janganlah kita buat keputusan hanya berdasarkan andaian keadaan akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Abdul Karim berkata, pemantauan terhadap bacaan IPU perlu diteruskan dan semua pihak hendaklah bersedia mengambil tindakan sekiranya keadaan berubah.

“Yang penting, kita sentiasa pantau. Kalau keadaan berubah dan bacaan meningkat ke tahap yang tidak selamat, kita boleh buat keputusan pada masa itu,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi