KPM arah semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan serta-merta

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan institusi pendidikan di bawah kementerian itu, agar menghentikan serta-merta segala aktiviti luar bilik darjah, termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 berikutan cuaca panas dan jerebu.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata arahan berkenaan, telah dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), demi kebajikan serta keselamatan murid.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihatkan agar sentiasa merujuk surat siaran KPM Bilangan 5/2016 bertarikh 26 April 2016, berkenaan persediaan sekolah berhubung penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Institusi pendidikan juga boleh merujuk surat siaran KPM Bilangan 1/2019 bertarikh 15 Jan 2019, mengenai langkah-langkah KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan jerebu yang dianggap kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata selain itu, lokasi penganjuran acara sukan yang sedang berlangsung pada peringkat Majlis Sukan Sekolah (MSSM) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), akan diselaraskan semula ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup dalam bangunan sekiranya perlu berdasarkan bacaan IPU semasa.

Mohd Azam berkata JPN, PPD dan semua institusi pendidikan di bawah KPM turut disarankan agar melaksanakan beberapa langkah pencegahan, termasuk memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas, bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Bekalan air minuman bersih perlu sentiasa mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri,” katanya.

Mohd Azam berkata pihak berkaitan perlu menasihati dan menggalakkan murid agar mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai, bagi mengawal suhu badan selain membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“JPN, PPD dan semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas,” katanya.

Mohd Azam berkata pihak institusi pendidikan juga perlu peka dan memantau bacaan IPU serta status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di pautan https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main dari semasa ke semasa, bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata laporan terkini menunjukkan kira-kira 30 kawasan telah merekodkan bacaan IPU tidak sihat dalam negara. – Bernama