Dua lelaki ditahan, disyaki curi komponen kenderaan di Metrocity, Matang

Facebook
WhatsApp
BARANG RAMPASAN...Antara barangan yang dipercayai dicuri dan dirampas polis dalam kes kecurian komponen kenderaan di Metrocity, Matang.

KUCHING: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian komponen kenderaan di kawasan Metrocity, Matang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kedua-dua suspek ditahan secara berasingan antara 1.40 petang hingga 2.40 petang semalam di kawasan sekitar Kuching dan Padawan.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu turut membawa kepada rampasan sekeping resit jualan untuk siasatan lanjut, manakala semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

DITAHAN…Dua lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian komponen kenderaan di Metrocity, Matang.

“Mahkamah Majistret telah membenarkan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan kecurian komponen kenderaan. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Alexson turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sin Mohd Ruddy Oon Hasan, di talian 010-4088182, Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh Connie Chieng