PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti kejuruteraan Asia Pasifik apabila menjadi tuan rumah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 2 hingga 4 September depan.
Penganjuran itu dimaklumkan ketika kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur FEIAP 2026 yang diketuai Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong, kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Kunjungan berkenaan antara lain bertujuan menjemput Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat selain membincangkan penyertaan beliau dalam Majlis Pembukaan dan sesi Bual Bicara bertajuk ‘Merekayasa Masa Depan Asia dan Pasifik’.
Dalam pertemuan itu, delegasi turut menyampaikan perkembangan persiapan penganjuran yang dianjurkan oleh Cawangan IEM Sarawak dengan tema ‘Merekayasa Peralihan Mampan Melalui Inovasi dan Daya Tahan’.
FEIAP 2026 dijangka menjadi himpunan terbesar dalam sejarah 48 tahun penubuhan pertubuhan berkenaan dengan penyertaan wakil daripada 28 anggota ekonomi FEIAP yang mewakili 25 negara.
Selain kira-kira 200 delegasi antarabangsa dan anggota FEIAP, program itu dijangka menghimpunkan sekitar 500 peserta daripada sektor industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam di Sarawak.
Antara pengisian utama termasuk Perhimpunan Agung FEIAP Ke-34, Kongres dan Pameran Kejuruteraan Dunia serta Pertandingan Inovasi Bakat Muda yang dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung perdagangan.
Penganjuran berkenaan turut menjadi platform untuk mempertemukan profesional kejuruteraan, penggubal dasar, pemimpin industri, wakil kerajaan, ahli akademik, jurutera muda dan pelajar bagi membincangkan hala tuju pembangunan mampan serta inovasi kejuruteraan di rantau Asia Pasifik.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak (SACED) merangkap Pengerusi IEM Sarawak dan Pengerusi Penganjur FEIAP 2026 Angelia Liew San Chuin, Mantan Presiden FEIAP dan IEM Tan Sri Chuah Hean Teik serta Timbalan Dekan (Prasiswazah) Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Kasumawati Lias.
Oleh Shikin Mahmud





