SIMANGGANG: Kebakaran belukar yang berlaku di sekitar Taman Harmoni, semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.
Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.15 petang, dengan lokasi kebakaran terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
Pasukan operasi diketuai PBK I Noor Faqriakmal dengan kekuatan anggota dan logistik membabitkan sebuah jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dan sebuah pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Setibanya pasukan di lokasi, anggota mendapati benar berlaku kebakaran belukar di sekitar kawasan yang dilaporkan.

Komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan kerja-kerja pemadaman dilaksanakan.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan dua nozel, manakala sumber air diperoleh daripada kawasan terbuka iaitu parit berhampiran lokasi kejadian.
Anggota turut menjalankan pemadaman terhadap tompok-tompok api yang dikesan bagi memastikan kebakaran tidak kembali merebak.
Kaedah ‘total flooding’ turut digunakan sebagai langkah memastikan api benar-benar dipadamkan dan tiada lagi bahagian yang masih terbakar.
Selepas operasi selesai, anggota menjalankan pemeriksaan serta mengemas semua peralatan sebelum bertolak pulang ke balai.
Menurut BBP Sri Aman, antara cabaran yang dihadapi sepanjang operasi ialah sumber air terbuka yang terhad kerana hanya bergantung kepada parit di kawasan berkenaan.
Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan dalam kejadian berkenaan, manakala punca kebakaran serta jumlah keluasan kawasan terjejas tidak dinyatakan dalam kenyataan tersebut.
Oleh Adi Safarman





