Kebajikan penjaja Bintangor perlu diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
DATO' Sri Huang Tiong Sii meninjau keadaan di Pusat Penjaja Bintangor. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Isu kemudahan, persekitaran dan keperluan operasi yang dihadapi penjaja di Pasar Tamu dan Pusat Penjaja Bintangor perlu ditangani secara praktikal bagi menyediakan suasana perniagaan yang lebih selesa, selamat dan teratur.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada golongan penjaja yang bergantung kepada aktiviti perniagaan harian sebagai sumber pendapatan keluarga.

Katanya, pendekatan turun padang membolehkan keadaan sebenar di lokasi dinilai, selain memberi peluang kepada penjaja menyampaikan sendiri masalah dan keperluan mereka.

“Saya faham para penjaja di sini mencari rezeki setiap hari dan berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Apa yang penting ialah kita perlu turun padang untuk mendengar sendiri masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian yang praktikal,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan di Pasar Tamu dan Pusat Penjaja Bintangor serta berinteraksi dengan para penjaja bagi mendapatkan gambaran secara langsung mengenai isu yang mereka hadapi.

Dalam pertemuan tersebut, penjaja mengambil kesempatan menyuarakan pelbagai perkara berkaitan kemudahan, persekitaran dan keperluan operasi harian yang mempengaruhi kelancaran perniagaan mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) meneliti perkara yang dibangkitkan serta mengambil tindakan susulan terhadap isu yang berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan berkenaan.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyantuni penjaja. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

“Saya telah mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan oleh para penjaja.

“Saya minta pihak MDMJ meneliti isu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Jika ada perkara yang memerlukan peruntukan atau tindakan daripada pihak lain, kita akan cuba bantu dan bawa perkara tersebut ke peringkat yang berkaitan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kebajikan dan keselesaan penjaja perlu diberikan perhatian kerana golongan berkenaan turut memainkan peranan dalam menggerakkan kegiatan ekonomi setempat.

Tiong Sii menegaskan pembangunan tidak seharusnya hanya dilihat melalui pelaksanaan projek berskala besar, sebaliknya perlu memberi kesan secara langsung kepada kehidupan dan sumber pendapatan masyarakat.

“Kerajaan mahu memastikan pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada projek besar, tetapi turut memberi manfaat kepada rakyat yang menjalankan perniagaan kecil dan mencari rezeki setiap hari.

“Kita akan terus mendengar suara rakyat dan berusaha mencari penyelesaian terbaik,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Meradong yang juga Pengerusi MDMJ, Wee Teck Min.

Oleh Earl Anek