Sarawak cadang pusat pemulihan dadah kendalian kerajaan negeri

Facebook
WhatsApp
ABDUL Karim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak mencadangkan penubuhan sebuah pusat pemulihan dadah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri sebagai usaha memperkukuh rawatan dan pemulihan penagih, termasuk individu yang tampil mendapatkan rawatan secara sukarela.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) dan akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat Kabinet negeri.

Katanya, penubuhan pusat berkenaan dilihat penting berikutan kapasiti pusat pemulihan sedia ada di Sarawak yang terhad, selain keperluan menyediakan persekitaran pemulihan yang sesuai kepada individu yang mahu mendapatkan rawatan.

“Mesyuarat tadi telah lebih kurang bersetuju dengan cadangan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya negeri menjadikan pusat pemulihan ini sebagai pusat yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

“Masalah ini tidak boleh kita tolak begitu sahaja. Walaupun agensi yang mengawal selia dadah ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan negeri tidak boleh mengenepikan masalah sosial ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan MTMD di Kuching, hari ini.

Abdul Karim, yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Sarawak, berkata Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sedia ada di Puncak Borneo mempunyai kapasiti sekitar 300 penghuni dan kini hampir mencapai kapasiti maksimum.

Katanya, peningkatan kapasiti perlu dilakukan dengan mengambil kira fungsi pusat berkenaan sebagai pusat pemulihan dan bukannya sekadar tempat menempatkan individu yang mempunyai masalah penyalahgunaan dadah.

“Kita tidak mahu ia jadi macam penjara. Kadang-kadang penjara berkapasiti 2,000 tetapi dimasukkan sehingga 8,000 orang. Lebih kurang macam itulah.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, cadangan penubuhan pusat pemulihan kendalian kerajaan negeri turut mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam proses rawatan dan pemulihan.

“Ini pusat pemulihan. Mereka mesti berada dalam persekitaran yang sesuai supaya akhirnya kita mendapat kejayaan. Kalau letak sehingga 1,000 pun, mungkin kita tidak dapat mencapai kejayaan di sana,” katanya.

Katanya, terdapat pusat pemulihan persendirian di Miri dan Sibu yang sedang dalam proses pendaftaran dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), namun kedua-duanya mempunyai kaitan dengan institusi keagamaan.

Menurutnya, pendekatan berasaskan agama sememangnya boleh membantu proses pemulihan, tetapi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati sekiranya penghuni terdiri daripada pelbagai latar belakang agama.

ABDUL Karim Rahman Hamzah bersama Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa AADK, Olivia Ogor, Pengarah AADK Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim, Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli serta wakil PDRM pada sidang media semasa Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Kuching, hari ini.

“Kalau pusat itu dibangunkan oleh kerajaan negeri tanpa memasukkan unsur agama, ia mungkin lebih baik untuk mengelakkan perkara sensitif.

“Kalau penghuni itu Kristian, kita boleh bawa wakil agama Kristian untuk membimbing mereka. Kalau penghuni itu Islam, kita bawa ustaz Islam. Jadi, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian membolehkan aspek kerohanian terus digunakan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan tanpa menimbulkan kebimbangan berkaitan pertukaran agama atau sensitiviti keagamaan.

Abdul Karim berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak untuk pertimbangan Kabinet negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penambahan perjawatan AADK Sarawak telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 19 Disember 2025, melibatkan peluasan operasi daripada tiga kepada lapan daerah.

Katanya, kelulusan itu turut melibatkan 28 perjawatan baharu bagi setiap daerah serta 12 perjawatan bagi Pusat Saringan dan Penilaian Dadah di Puncak Borneo.

“Pertambahan ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara susulan permintaan dari peringkat bawah. Terima kasih kepada JPA dan kerajaan Persekutuan kerana memberikan kelulusan terhadap perjawatan baharu itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap cadangan tapak baharu Pejabat AADK Miri yang telah diluluskan oleh KDN, namun masih memerlukan tindakan lanjut kerana tanah berkenaan berada di bawah kementerian tersebut.

Menurutnya, perkara itu akan diangkat melalui kementerian berkaitan untuk dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan sewajarnya.

Abdul Karim pada masa sama berkata, Sarawak perlu terus berwaspada terhadap ancaman dadah walaupun keadaan ketika ini masih terkawal berbanding negeri lain.

Katanya, semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, sektor pendidikan, kesihatan serta belia perlu memperkukuh kerjasama bagi membanteras masalah berkenaan.

“Masalah dadah ini macam api. Kalau tidak dipadamkan di puncanya, ia akan terus membara.

“Sebab itu semua badan yang terlibat perlu bekerjasama untuk memastikan belia, ibu bapa dan komuniti kita tidak mengalami masalah dadah,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi

RM30 juta perkasa Sekolah Mubaligh Sarawak

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta menerusi Dana Bantuan Sekolah Mubaligh 2026 bagi memperkasa kemudahan dan infrastruktur sekolah mubaligh

Kuching tuan rumah FEIAP 2026

PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti kejuruteraan Asia Pasifik apabila menjadi tuan rumah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP)