Jerebu: Jakim laksana solat hajat di tiga masjid malam ini

Facebook
WhatsApp
JAKIM akan melaksanakan solat hajat dan bacaan doa di tiga masjid utama di bawah seliaan agensi itu malam ini susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan solat hajat dan bacaan doa di tiga masjid utama di bawah seliaan agensi itu malam ini susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata solat hajat dan bacaan doa itu akan dilaksanakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, di sini serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Beliau menyeru umat Islam untuk bersama-sama melaksanakan solat hajat serta memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan perlindungan, kesihatan, keselamatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian ini.

“Semoga Allah SWT melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada sebarang kemudaratan, memelihara kesihatan dan keselamatan kita semua serta memulihkan keadaan di kawasan-kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat 8.00 pagi tadi, sebanyak 17 kawasan di enam negeri iaitu Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perak serta Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. – Bernama