KUCHING: Kualiti udara di Sarawak mencatatkan tahap berbeza-beza apabila enam kawasan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan rekod pemantauan kualiti udara di Sarawak, Lubok Antu mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 169, diikuti Sri Aman (164), Serian (163), Samarahan (160), Lundu (128) dan Tebedu (121).
Sementara itu, Kuching mencatatkan bacaan IPU 94, iaitu pada tahap sederhana.
Sebanyak 10 kawasan lain turut merekodkan bacaan pada tahap sederhana, iaitu Sarikei (90), Mukah (80), Sibu (76), Lawas (70), Bintulu (69), Samalaju (67), ILP Miri (64), Miri (57), Limbang (57) dan Kapit (53).
Bario pula mencatatkan bacaan IPU 50, iaitu pada tahap baik.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.





