KUCHING: Akses kepada bahan bacaan berkualiti dalam bahasa Inggeris pada harga mampu milik terus diperkasa menerusi penganjuran Big Bad Wolf Books Kuching 2026 yang berlangsung di Pusat Beli-Belah Boulevard, di sini.
Ucapan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada majlis itu dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Abu Bakar Marzuki berkata, akses kepada bahan bacaan merupakan antara asas penting dalam membantu meningkatkan penguasaan bahasa serta perkembangan ilmu dalam kalangan generasi muda.
Katanya, penganjuran Big Bad Wolf Books memberi peluang kepada kanak-kanak, pelajar dan keluarga mendapatkan bahan bacaan dalam bahasa Inggeris pada harga yang lebih berpatutan.
“Dengan menjadikan buku berbahasa Inggeris lebih mudah diakses, acara seperti Big Bad Wolf Books memberikan peluang kepada kanak-kanak, pelajar dan keluarga untuk mempelajari bahasa Inggeris melalui kaedah yang semula jadi, menyeronokkan dan bermakna,” katanya.
Menurutnya, pembacaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai keperluan akademik, sebaliknya menjadi medium untuk golongan muda meneroka idea baharu, mengembangkan pemikiran kreatif dan memahami perspektif yang lebih luas.

Katanya, amalan membaca memberi manfaat jangka panjang kerana buku menjadi medium untuk seseorang meneroka pengetahuan, memahami budaya berbeza dan melihat sesuatu perkara daripada pelbagai perspektif.
“Ini lebih daripada sekadar jualan buku. Ia merupakan peluang untuk mendekatkan buku kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak, serta menggalakkan tabiat membaca.
“Paling penting, kita mahu membentuk budaya membaca yang lebih kukuh dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa, guru dan golongan muda memanfaatkan penganjuran berkenaan sebagai ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil meneroka dunia ilmu menerusi pembacaan.
Dalam era digital, masyarakat kini mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bahan bacaan, namun buku fizikal masih mempunyai peranan penting dalam membentuk asas tabiat membaca, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berkata, usaha menggalakkan pembacaan juga selari dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Big Bad Wolf Books Kuching 2026 menawarkan diskaun sehingga 95 peratus bagi menjadikan buku fizikal lebih mudah dimiliki masyarakat.
Selain itu, beberapa inisiatif turut disediakan, termasuk tawaran khas untuk pelajar dan pendidik, pembelian secara pukal untuk institusi dan perpustakaan serta promosi sepanjang tempoh penganjuran.
Program berkenaan berlangsung selama 11 hari, dari 25 Ogos hingga 6 September 2026, dan dibuka dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Aras 3, Pusat Beli-Belah Boulevard.
Antara tawaran yang disediakan termasuk diskaun Merdeka sebanyak 6.9 peratus pada 31 Ogos serta promosi Beli Enam Percuma Satu pada hari bekerja, dari 1 hingga 4 September.
Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah menerusi program Belanja & Menang dengan perbelanjaan RM90 dalam satu resit, yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM20,000, termasuk hadiah utama berupa jongkong emas seberat 10 gram.
Penganjuran Big Bad Wolf Books Kuching 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan aktiviti membaca bersama keluarga, khususnya sempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69.
Oleh Shikin Mahmud





