BINTANGOR: Seramai 132 atau 73.3 peratus daripada 180 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), mencerminkan pencapaian membanggakan dalam membuka laluan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata daripada jumlah tersebut, 113 pelajar berjaya melanjutkan pengajian menerusi Unit Pusat Universiti (UPU), manakala 19 pelajar melanjutkan pengajian ke universiti swasta dan seorang lagi ke institut kemahiran.
“Melihat anak-anak kita berjaya mengharungi cabaran STPM dan melanjutkan pengajian ke universiti amat membanggakan saya. Kejayaan ini merupakan hasil usaha para pelajar, sokongan ibu bapa dan bimbingan guru-guru.
“Tahun ini, seramai 67 pelajar mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Persediaan ke Universiti dan Penyerahan Insentif STPM 2025 di Dewan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong, hari ini.
Kuong Hiing berkata, pemberian insentif yang dilaksanakan sejak 2017 merupakan komitmen berterusan beliau dalam memberikan sokongan kepada pelajar Tingkatan Enam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kehadiran saya bukan sekadar untuk menyampaikan insentif, tetapi sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada anak-anak Tingkatan Enam atas kejayaan mereka.
“Usaha meneruskan pemberian insentif ini sejak 2017 merupakan komitmen saya untuk terus menyokong anak-anak kita melangkah ke menara gading,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak merendahkan kemampuan diri, sebaliknya terus menimba ilmu, memperkukuh kekuatan mental dan menjaga integriti apabila melangkah ke alam universiti.
“Jangan sesekali merendahkan kebolehan diri sendiri.
“Di universiti nanti, teruskan menuntut ilmu, kuatkan mental dan jaga integriti. Jadikan insentif ini sebagai tanda keyakinan saya, guru-guru dan ibu bapa terhadap potensi anda untuk berjaya.
“Buktikan bahawa anak-anak SMK Meradong mampu bersaing dan suatu hari nanti kembali menyumbang kepada Daerah Meradong dan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta memberikan sokongan kepada pelajar sehingga mencapai kejayaan.
“Kepada para guru dan ibu bapa, terima kasih atas segala pengorbanan, bimbingan, sokongan dan dorongan kepada anak-anak kita.
“Kejayaan mereka hari ini merupakan hasil usaha bersama,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sektor Perancangan Nasaruddin Ibrahim, Timbalan Pengerusi PIBG SMK Meradong Dayang Muzaimah Awang Jemat dan Pengetua SMK Meradong Poh Chie Teck.
Oleh Earl Anek





