JULAU: Mekanisme subsidi minyak perlu dinilai semula dengan mengambil kira faktor geografi dan jarak perjalanan bagi memastikan penduduk pedalaman tidak terbeban dengan kos pengangkutan yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata kuota subsidi sebanyak 200 liter diesel dan petrol sebulan dilihat tidak mencukupi bagi penduduk luar bandar yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan barangan keperluan serta menjalankan aktiviti ekonomi.
Katanya, keluasan kawasan Parlimen Julau dan keadaan geografinya yang berbeza berbanding kawasan bandar menyebabkan masyarakat di pedalaman menggunakan lebih banyak bahan api untuk urusan harian.
“Kadangkala rakyat kita terpaksa menempuh perjalanan ulang-alik, beratus-ratus kilometer sehari menggunakan kenderaan, sama ada ke bandar atau ke kebun, berbanding penduduk di bandar yang jarak antara rumah, tempat kerja dan pusat beli-belah lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bersama Rakyat di Rumah Julin dan Rumah Laman, baru-baru ini.
Katanya, ada penduduk pedalaman yang perlu melakukan perjalanan melebihi 100 kilometer hanya untuk mendapatkan barangan keperluan atau menjalankan aktiviti ekonomi, menyebabkan penggunaan bahan api mereka lebih tinggi.

“Dalam sebulan sahaja, subsidi minyak sebanyak 200 liter tidak mencukupi bagi rakyat yang tinggal di rumah panjang dan kawasan pedalaman.
“Oleh itu, saya berharap agar kerajaan menilai semula mekanisme subsidi ini bagi mengurangkan beban penduduk di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambahnya, penggunaan kenderaan seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan kenderaan pikap lain di kawasan pedalaman bukan semata-mata untuk kegunaan persendirian, sebaliknya merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian.
Kenderaan berkenaan diperlukan untuk melalui jalan yang mencabar, membawa hasil pertanian dari kampung untuk dijual di bandar serta mengangkut barangan keperluan kembali ke penempatan masing-masing.
Larry turut membangkitkan isu syarat subsidi yang dikaitkan dengan nama pemilik kenderaan berdaftar kerana perkara itu boleh menimbulkan kesukaran kepada sesetengah keluarga di rumah panjang.
Jelasnya, terdapat kenderaan yang dibeli dan didaftarkan atas nama anak yang bekerja, namun kenderaan tersebut sebenarnya disediakan untuk kegunaan ibu bapa mereka di kampung.

“Subsidi itu juga terpaksa menggunakan nama anak yang didaftarkan sebagai pembeli kenderaan, walaupun anak mereka membelikan kereta tersebut untuk kegunaan ibu bapa,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap mekanisme yang lebih fleksibel dapat dipertimbangkan supaya pelaksanaan subsidi mengambil kira corak kehidupan dan keperluan sebenar komuniti pedalaman.
“Pada pendapat saya, perkara berkaitan polisi subsidi minyak ini patut mengambil kira kegunaan rakyat di pedalaman,” katanya.
Katanya, perkara tersebut amat relevan bagi Parlimen Julau yang mempunyai kawasan pedalaman yang luas dengan banyak penempatan terletak jauh dari pusat bandar.
Justeru, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan faktor geografi, jarak perjalanan dan corak penggunaan kenderaan masyarakat luar bandar dalam mekanisme subsidi minyak supaya manfaatnya benar-benar memenuhi keperluan golongan yang disasarkan.
Oleh Earl Anek





