PUTRAJAYA: Berurut adalah antara kaedah yang menjadi pilihan kebanyakan ahli masyarakat bagi merawat lenguh badan, dengan urutan Thai dan Bali antara teknik popular yang ditawarkan oleh spa atau pusat kesejahteraan di negara ini.
Namun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu urutan Malaysia juga tidak kurang hebatnya, menawarkan keunikan tersendiri menerusi gabungan elemen empat warisan masyarakat dalam satu sentuhan.
Mengambil inspirasi daripada teknik urut Melayu, Cina, India serta masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, urutan Malaysia menawarkan lebih daripada cara mengurut.

Pengasas Nur Taj Spa & Beauty Selinastein Mohd Rashid berkata urutan itu memperkenalkan budaya tempatan dalam industri spa menerusi teknik, peralatan dan bahan tradisional yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat.
Menurutnya, penerapan elemen tradisional itu bukan sekadar untuk menghasilkan pengalaman berbeza, tetapi bagi menghidupkan semula amalan masyarakat zaman dahulu dalam kehidupan hari ini.
“Urutan Malaysia dimulakan dengan ritual rendaman kaki. Zaman dahulu, apabila pulang dari luar, orang tua biasanya akan meminta kita mencuci kaki terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam rumah. Daripada amalan itu, kami inspirasikan Malaysian foot soak dengan menggunakan bahan-bahan tradisional seperti limau purut, daun sirih dan daun pandan.

“Seterusnya akan ada Qigong breathing daripada masyarakat Cina, Indian head massage daripada masyarakat India serta teknik Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak yang sangat unik, khusus dalam teknik urutan Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Nur Taj Spa & Beauty Putrajaya, di sini.
Selinastein berkata urutan Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai produk pelancongan pada 2017 itu tidak bergantung pada mesin, sebaliknya mengekalkan teknik mengurut menggunakan tangan kepada pelanggan termasuk dari Korea Selatan, India dan Maldives.
“Walaupun zaman sekarang sampai dah dunia digital orang lebih kepada mesin, tetapi dengan adanya teknik tradisional ini, sebenarnya lebih ramai orang menghargainya.
“Ada yang kata memang sangat berbeza dan menenangkan kerana mereka memang dah pernah merasai semua urutan dan urutan Malaysia ada kelainan,” katanya menambah, pengamal urutan itu perlu menjalani latihan enam hari dengan “master trainer” yang diperakui MOTAC sebelum diberikan sijil.

Selinastein berkata usaha memperkenalkan urutan Malaysia di peringkat antarabangsa kini turut dipergiat menerusi demonstrasi di beberapa bandar utama dunia seperti New York, Amerika Syarikat; London, United Kingdom; Berlin, Jerman dan Guangzhou di China.
Selain itu, beliau berkata menerusi kerjasama dengan Persatuan Spa Malaysia, mereka melatih pengamal di luar negara bagi membuka laluan untuk urutan Malaysia ditawarkan dalam menu spa antarabangsa.
“Kita nak spa-spa di luar negara mempunyai urutan Malaysia dalam menu spa mereka. Buat masa ini, ada beberapa negara yang ahli terapi mereka sudah belajar. Dengan adanya Tahun Melawat Malaysia 2026 ini, kita ketengahkan lagi perkara itu dan bergerak secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin berkata urutan Malaysia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada warisan negara meskipun belum diwartakan kerana seni tersebut merupakan kemahiran dan kepandaian yang diamalkan masyarakat Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak.
“Tidak semestinya setiap warisan perlu diwartakan, namun kita ambil inisiatif agar kepandaian itu dipelihara, diteruskan dan diamalkan,” katanya, menambah penerapan kemahiran itu dalam industri spa membuka peluang untuk urutan Malaysia diketengahkan sebagai produk pelancongan negara. – Bernama



