Legenda muzik country AS, Dolly Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail menunjukkan penyanyi dan penulis lagu Dolly Parton membuat persembahan dalam konsert sempena jelajah ‘Pure & Simple Tour’ di Frank Erwin Center pada 6 Disember 2016 di Austin, Texas. Penyanyi dan penulis lagu legenda Amerika Syarikat serta ikon muzik country itu meninggal dunia pada usia 80 tahun, menurut pengumuman keluarganya pada 25 Ogos 2026. Foto AFP

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Dolly Parton, bintang muzik country yang bangkit daripada kemiskinan tegar di Tennessee untuk menjadi ikon budaya dengan penampilan berhiaskan kilauan serta popular dengan lagu seperti Jolene dan 9 to 5, meninggal dunia pada usia 80 tahun, kata keluarganya pada Selasa.

Parton bukan sekadar seorang penyanyi, beliau menulis 3,000 lagu, berlakon dalam filem Hollywood utama dan menyumbangkan jutaan dolar kepada badan kebajikan di negeri asalnya serta di tempat lain.

Beliau juga seorang ahli perniagaan yang berjaya, dengan kepentingan perniagaannya merangkumi taman tema popular Dollywood, kosmetik, pakaian haiwan peliharaan, campuran bahan pembakar dan juga sebuah hentian lori.

BENDERA Amerika Syarikat diturunkan kepada separuh tiang di sekitar Monumen Washington sebagai penghormatan kepada pemergian Dolly Parton pada 25 Ogos 2026 di Washington, DC. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengarahkan bendera diturunkan selama seminggu selepas Parton meninggal dunia hari ini pada usia 80 tahun. Foto AFP

“Dolly telah menjalani kehidupannya dalam cahaya dan kini berada dalam dakapan Jesus,” kata anak saudaranya, Bryan Seaver, dalam video yang mengumumkan kematiannya di media sosial.

Beliau berkata artis yang memenangi pelbagai anugerah itu, telah “membuka pintu untuk generasi penyanyi, penulis lagu, pemuzik dan pemimpi daripada pelbagai lapisan masyarakat”.

Keluarga tidak mendedahkan punca kematian, namun Parton pernah bercakap mengenai masalah kesihatan yang dialaminya sejak kebelakangan ini. Suaminya, Carl Dean, meninggal dunia tahun lalu.

Satu upacara pengebumian kecil secara tertutup akan diadakan, kata wakilnya kepada majalah People, sambil menggalakkan peminat meninggalkan pesanan di laman sesawangnya.

Ucapan takziah segera disampaikan kepada Parton, yang memenangi 10 Anugerah Grammy dan 13 anugerah Akademi Muzik Country (ACM) sepanjang kerjaya seninya.

SEORANG peminat meletakkan poster gambar pada Bintang Dolly Parton di Hollywood Walk of Fame pada 25 Ogos 2026 di Hollywood, California. Foto AFP

“Semoga legasinya terus hidup melalui lagu-lagunya, kehidupan yang disentuhnya dan para artis yang tidak terhitung jumlahnya yang mendapat inspirasi daripadanya. Tidak akan pernah ada insan sepertinya lagi,” kata Grand Ole Opry, institusi muzik country terkemuka Amerika, menerusi media sosial.

Rakan pelakon Parton dalam filem popular 9 to 5 pada 1980, yang turut melahirkan lagu runut bunyi popularnya, menyatakan rasa terkejut mereka.

Pemenang Oscar, Jane Fonda, berkata beliau “sangat berdukacita”, manakala Lily Tomlin hanya berkata: “Tiada kata-kata.”

Berita itu turut mencetuskan detik perpaduan yang jarang berlaku di sebuah negara yang sering berpecah-belah berhubung pemerintahan Donald Trump, perang terhadap Iran dan isu kebudayaan.

Trump mengarahkan bendera Amerika diturunkan kepada separuh tiang di seluruh Amerika Syarikat selama seminggu, sambil menyifatkan pemergian Parton sebagai “kehilangan besar bagi jutaan orang”.

PEMINAT meletakkan bunga pada bintang Dolly Parton di The Music City Walk of Fame pada 25 Ogos 2026 di Nashville, Tennessee. Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun pada 25 Ogos 2026. Foto AFP

“Tidak pernah ada sesiapa seperti beliau dan tidak akan pernah ada,” tulis Trump di rangkaian Truth Social miliknya.

Bekas Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokrat, Bill Clinton, menyifatkannya sebagai “unik dan tiada tandingan”.

Empire State Building di New York dijadualkan diterangi cahaya merah jambu pada lewat Selasa sebagai penghormatan kepada penyanyi itu.

Dunia “kurang berkilauan”

Dilahirkan pada 1946 sebagai salah seorang daripada 12 adik-beradik di kawasan luar bandar Tennessee, Parton menuju ke Nashville, ibu kota muzik country, sejurus selepas menamatkan persekolahan menengah.

Menjelang 1967, pada usia 21 tahun, beliau merupakan antara tokoh paling dikenali dalam muzik Amerika selepas menyertai rancangan televisyen muzik country yang disiarkan di pelbagai stesen televisyen milik Porter Wagoner, yang membawa suara dan wajahnya ke jutaan rumah di seluruh Amerika Syarikat.

Sepanjang kerjaya produktif yang merentasi enam dekad, Parton menghasilkan kira-kira 3,000 lagu.

Antaranya termasuk Jolene, Coat of Many Colors dan balada ikonik I Will Always Love You, yang kemudiannya meraih kejayaan antarabangsa menerusi nyanyian Whitney Houston.

Dengan menerbitkan 49 album studio serta lebih 100 album kompilasi dan kolaborasi, beliau memperoleh gelaran “ratu muzik country”.

Tidak pernah merendahkan daya tarikan fizikalnya, Parton pada dasarnya menjadi contoh bagaimana seorang wanita mampu menguasai industri muzik yang didominasi lelaki, sebelum akhirnya menjadi khazanah Amerika dengan lagu-lagunya dinyanyikan semula oleh pelbagai artis, daripada Shania Twain hingga Sinead O’Connor.

“Pengiktirafan sebagai orang suci serta-merta,” tulis Jack White, yang pernah merakamkan versi Jolene bersama White Stripes, di Instagram.

Tahun lalu, Parton menangguhkan beberapa siri konsert di Las Vegas atas alasan masalah kesihatan yang berterusan. Pada Mei, beliau membatalkan konsert berkenaan sepenuhnya, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu.

Dalam video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, beliau berkata walaupun rawatan bagi penyakit yang tidak didedahkan itu berjalan dengan baik, beliau masih belum bersedia untuk membuat persembahan.

Malah, minggu lalu, beliau berkata dalam satu kenyataan kepada majalah People: “Saya masih mempunyai begitu banyak perkara yang ingin dicapai, jadi saya akan terus bekerja selagi saya mampu untuk melihat semuanya menjadi kenyataan.”

“Beliau telah menyatukan begitu ramai orang dan kami semua akan sangat merinduinya,” kata vokalis utama Rolling Stones, Mick Jagger. – AFP