Kemudahan permohonan kewarganegaraan perlu dimanfaatkan sebaiknya

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN... Datuk Rosey Yunus dan rombongan merakamkan kenangan bersama penduduk rumah panjang Tuai Rumah Linggi Empading, Bakas, semalam.

BEKENU: Kemudahan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang diberikan kepada Sarawak perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan supaya membantu mengenal pasti kes seumpama itu dalam komuniti masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, masih terdapat kanak-kanak di kawasan pedalaman dan rumah panjang yang mempunyai sijil kelahiran, namun status kewarganegaraan mereka belum ditentukan.

“Saya nasihatkan ibu bapa, penjaga dan KMKK di Sarawak diminta segera mengurus status kewarganegaraan kanak-kanak yang masih belum ditentukan, khususnya mereka yang mempunyai masalah dokumentasi susulan perkahwinan tidak teratur.

“Harap kerjasama daripada semua pihak peka perkara ini agar dapat dipanjangkan ke kawasan masing-masing bukan hanya di Bekenu, tetapi seluruh Sarawak,” katanya pada majlis Penyerahan Kad Keahlian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Rumah Linggi Empading, Bakas petang semalam.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, keadaan itu berlaku apabila ibu merupakan warga asing, manakala perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan secara rasmi atau salah seorang daripada mereka meninggalkan keluarga.

“Perkara itu perlu dikenal pasti lebih awal bagi mengelakkan kanak-kanak terbabit berdepan kesukaran mendapatkan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kerajaan apabila meningkat dewasa.

“Sekarang ini, had umur diturunkan lagi kepada 18 tahun. Jika sudah melepasi usia 18 tahun, saya tidak lagi boleh menguruskannya. Mereka terpaksa berurusan terus dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bayangkan, jika terus ke KDN, prosesnya boleh mengambil masa sehingga lima hingga 10 tahun.

“Saya berharap jika ada kes seperti ini, sila uruskan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Apabila dokumen lengkap, permohonan akan dibawa ke jawatankuasa kami dan jika mendapat sokongan, 90 peratus daripadanya akan diluluskan. Tempohnya juga jauh lebih singkat berbanding proses biasa,” katanya.

Katanya lagi, proses berkenaan melibatkan dua peringkat, iaitu mendapatkan kewarganegaraan Malaysia terlebih dahulu sebelum permohonan status Sarawak dibuat.

“Jawatankuasa Khas Sarawak bagi Perkara 15A yang melibatkan wakil kerajaan negeri dan JPN berperanan meneliti serta menyokong permohonan yang lengkap sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk keputusan,” jelasnya.

Oleh Adum Liu

Misi besar Pusaka perkasa industri buluh Sarawak

KUCHING: Buluh yang selama ini sinonim dengan kehidupan tradisional masyarakat Sarawak berpotensi berkembang sebagai sumber ekonomi baharu melalui penghasilan produk bernilai tambah seperti