KUCHING: Buluh yang selama ini sinonim dengan kehidupan tradisional masyarakat Sarawak berpotensi berkembang sebagai sumber ekonomi baharu melalui penghasilan produk bernilai tambah seperti makanan, perabot dan bahan biojisim.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) Datuk Zainal Abidin Abdullah berkata melihat kepada potensi itu, Pusaka mahu melibatkan komuniti dalam usaha penanaman buluh, khususnya pemilik tanah yang mempunyai kawasan terbiar.
“Kami sedia membantu tetapi semestinya usaha ini memerlukan persetujuan dan kebenaran pemilik tanah terlebih dahulu sebelum pasukan Pusaka turun ke lapangan bagi mengenal pasti kesesuaian kawasan sebelum memberi bimbingan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sebagai permulaan, Pusaka akan menyediakan 400 anak benih buluh secara percuma, iaitu jumlah yang mencukupi untuk penanaman seluas satu hektar.

Beliau berkata apabila buluh yang ditanam mencapai tempoh matang, hasil tersebut akan dibeli semula untuk diproses oleh pemain industri hiliran mengikut jenis produk yang hendak dihasilkan.
“Pendekatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemilik tanah memanfaatkan kawasan yang tidak digunakan, malah berpotensi mewujudkan sumber pendapatan baharu melalui rantaian industri buluh,” katanya.
Zainal Abidin berkata antara produk yang sedang diterokai Pusaka dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ialah tepung daripada rebung buluh untuk pembuatan kek dan pastri.
“Buat masa ini, produk tersebut masih belum dapat dikomersialkan kerana bekalan rebung belum mencukupi…kita perlu memastikan bekalan berterusan terlebih dahulu.
“Selain makanan, spesies buluh yang mempunyai kandungan serat tinggi seperti buluh betung turut dilihat berpotensi menghasilkan pelet biojisim bagi penjanaan tenaga,” katanya.

Dalam usaha mengenal pasti potensi buluh, Zainal Abidin berkata tanah seluas 50 hektar di Hutan Simpan Sabal, Simunjan telah dijadikan kawasan percubaan penanaman buluh.
Beliau berkata sebanyak 22 spesies buluh ditanam di kawasan tersebut, termasuk spesies dari China, Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia.
“Selain itu, beberapa kawasan berpotensi turut dikenal pasti untuk pembangunan tanaman buluh secara berskala besar, termasuk kawasan ladang hutan milik Pusaka di Bintulu dan Miri dengan potensi penanaman melebihi 20,000 hektar.
“Sarawak menyasarkan pembangunan tanaman buluh secara komersial dan kerjasama komuniti seluas 30,000 hektar di seluruh negeri menjelang 2030,” katanya.

Zainal Abidin berkata Pusaka terus memainkan peranan supaya ekonomi Sarawak bukan hanya bergantung kepada industri kayu semata-mata tetapi tanaman buluh juga boleh menjadi antara penyumbang utama.
“Sasaran itu mencerminkan usaha menjadikan buluh sebagai sumber alternatif kepada kayu, selain membangunkan industri hiliran yang mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata bagi memperkenalkan potensi industri buluh, Pusaka akan menganjurkan Hari Buluh Sarawak dari 18 hingga 20 Sept bagi membuka ruang kepada pemain industri, institusi pengajian tinggi, penyelidik dan komuniti untuk meneroka peluang dalam industri berkenaan. – Bernama



