KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak menunjukkan sedikit penambahbaikan malam ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua tujuh kawasan yang berada pada tahap tidak sihat menurun berbanding 4.00 petang tadi.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) setakat 9.00 malam, Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 185, turun dua mata berbanding 187 pada 4.00 petang.
Kuching turut menunjukkan penurunan daripada 177 kepada 175, manakala Samarahan turun daripada 172 kepada 171 dan Sri Aman daripada 173 kepada 168.
Penurunan turut direkodkan di Lundu iaitu daripada 179 kepada 173, Tebedu daripada 185 kepada 180 dan Lubok Antu daripada 184 kepada 180.
Walaupun menunjukkan penurunan, ketujuh-tujuh kawasan berkenaan masih berada dalam kategori tidak sihat dengan bacaan antara 101 hingga 200.
Sementara itu, 11 kawasan lain kekal pada tahap sederhana dengan Sarikei merekodkan 84, Sibu (77), Mukah (86), Kapit (68), Bintulu (88), Samalaju (82), Miri (91), ILP Miri (85), Limbang (74), Lawas (94) dan Bario (52).
Berbanding bacaan pada 4.00 petang, beberapa kawasan pada tahap sederhana turut mencatat perubahan kecil, antaranya Sibu meningkat daripada 74 kepada 77, manakala Samalaju menurun daripada 86 kepada 82.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana. Bacaan 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata 24 jam daripada parameter pencemar udara yang paling dominan.





