Jerebu rentas sempadan jejas Sarawak, rakyat digesa elak pembakaran terbuka

Facebook
WhatsApp
DATUK Len Talif Salleh ditemu bual media pada semalam.

SARIKEI: Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini dipercayai dipengaruhi pembakaran di kawasan sempadan Kalimantan dengan arah angin membawa kesannya ke negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerajaan Sarawak terus memantau perkembangan jerebu rentas sempadan selain mengambil langkah memastikan kegiatan pembakaran terbuka tidak dilakukan di Sarawak.

“Seperti yang saya katakan minggu lepas, kita memang sedang memantau keadaan jerebu yang merentasi sempadan.

“Apa yang telah kita usahakan di Sarawak, untuk memastikan tiada kerja pembakaran terbuka oleh mereka yang di lapangan.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini, oleh kerana pembakaran secara sengaja ataupun tidak sengaja yang berlaku di sempadan sebelah Kalimantan dengan arah angin menjejaskan keadaan di Sarawak,” katanya.

BACAAN terkini data IPU pada 11.00 pagi tadi di Sarikei adalah 174.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, semalam.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata keadaan kualiti udara ketika ini turut dapat dilihat menerusi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), khususnya di kawasan selatan dan barat Sarawak.

“Jadi, pada hari ini, jika kita lihat dari bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching dan semuanya, kebanyakkan lebih daripada 100 untuk selatan dan barat Sarawak.

“Saya harap, rakyat Sarawak jangan terlibat dengan pembakaran terbuka, kerana ia akan menjejaskan lagi keadaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap masyarakat memberikan kerjasama dengan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan kualiti udara sedia ada menjadi semakin buruk.

Dalam perkembangan berkaitan, Larian Separuh Maraton Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang Sarikei 2026 yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok telah dibatalkan susulan keadaan jerebu.

Turut dibatalkan Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul dan Zikir Maulid Peringkat Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos serta Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak pada 25 Ogos di Dewan Sentral Sarikei.

Pembatalan larian dan majlis dibuat ketika beberapa kawasan di Sarawak termasuk Sarikei berdepan keadaan jerebu dan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

Tinjauan Utusan Sarawak di Sarikei dan kawasan di Tanjung Manis hari ini mendapati, keadaan jerebu bertambah buruk. 

Berdasarkan bacaan data IPU di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (htpps://eqms.doe.gov.my/APIMS), bacaan terkini pada 11.00 pagi di Sarikei adalah 174.

Oleh Earl Anek