KUCHING: Warga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) yang belum menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) perlu terus membuktikan kemampuan dan meningkatkan prestasi masing-masing, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau berkata, peluang untuk mencipta kecemerlangan sentiasa terbuka luas kepada warga kementerian selagi mereka terus menunjukkan komitmen dan bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menurutnya, penerima APC 2025 telah membuktikan kemampuan untuk menyumbang secara berkesan sebagai sebahagian daripada pasukan besar MUT dan agensi di bawah seliaannya.
“Kepada yang mungkin belum mencapai tahap tersebut tetapi masih menunjukkan prestasi yang baik, jangan berputus asa kerana ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan masih terbuka luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Mini Konvensyen Inovatif Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, di sebuah hotel malam tadi.
Julaihi berkata, budaya kerja berpasukan menjadi antara keutamaan kementerian dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan kemudahan utiliti yang diperlukan rakyat di seluruh Sarawak.
Katanya, pendekatan itu penting memandangkan MUT dan agensi berkaitan berdepan pelbagai cabaran dalam melaksanakan projek serta menyediakan perkhidmatan melibatkan bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan pengagihan gas.
“Selagi kita meneruskan perjuangan dan kerjasama dalam satu pasukan yang berkesan, saya yakin kita akan tetap menempa kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada kumpulan yang berjaya dalam Mini Konvensyen Inovatif dan Creative Circle 2026 yang disifatkannya sebagai bukti semangat kerjasama berterusan dalam kalangan warga MUT.
Jelasnya, semangat berkenaan turut menyumbang kepada kejayaan MUT apabila kementerian itu memperoleh Anugerah Perkhidmatan Awam Cemerlang dengan pengiktirafan emas pada tahun lalu.
“Semangat kerjasama inilah yang telah membolehkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menempa kejayaan.
“Ini merupakan kejayaan yang berteraskan kerja berpasukan yang kuat dan menjadi pilihan serta keutamaan rakan-rakan di peringkat kementerian dan agensi,” katanya.
Beliau berharap semangat kerjasama dan budaya kecemerlangan yang diterapkan dalam kalangan warga MUT dapat terus diperkukuh bagi membolehkan kementerian dan agensi berkaitan mencapai tahap yang lebih berkesan pada masa akan datang.
Oleh Adele Rissa





