Lima cadangan empangan Sarawak dikaji semula

Facebook
WhatsApp
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Mini Konvensyen Inovatif Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, di sebuah hotel, malam tadi. Foto Adele Rissa

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji semula cadangan pembinaan kemudahan penyimpanan air di lima kawasan bagi memastikan sumber air mentah negeri mencukupi dalam menghadapi keperluan bekalan air pada masa akan datang.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah itu penting susulan cabaran kemarau, fenomena El Nino dan cuaca panas yang menyebabkan sumber air mentah di beberapa kawasan semakin berkurangan.

Menurutnya, walaupun pelbagai loji rawatan air sedang dinaik taraf dan projek baharu dilaksanakan, sumber air mentah yang mencukupi tetap perlu dipastikan bagi memenuhi keperluan bekalan air negeri.

“Kita perlu mengambil kira bahawa kita mesti mempunyai sumber air mentah yang mencukupi pada masa akan datang. 

“Melihat kepada keadaan sekarang, kita merasakan bahawa cadangan penyimpanan air di seluruh Sarawak perlu dikaji semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Mini Konvensyen Inovatif Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, di sebuah hotel, malam tadi.

Julaihi berkata, lima kawasan yang pernah dikenal pasti untuk cadangan tersebut ialah Tebia, Batang Layar, Sungai Ulu Mukah, Sungai Pesu dan Sungai Suhu.

Katanya, kajian berkaitan cadangan pembinaan empangan untuk tujuan penyimpanan air itu pernah dilaksanakan sebelum ini, namun keadaan semasa memerlukan perkara tersebut dilihat semula.

“Pada suatu ketika dahulu kita sudah menjalankan kajian untuk mencadangkan pembinaan empangan di seluruh Sarawak. Sekarang kita perlu mengkaji semula cadangan penyimpanan air ini,” ujarnya.

Jelasnya, keperluan tersebut bukan hanya bagi kegunaan domestik, malah penting untuk memastikan permintaan terhadap bekalan air menjelang 2030 dapat dipenuhi.

“Ini penting bukan sahaja untuk keperluan domestik, tetapi juga bagi memastikan permintaan terhadap air menjelang tahun 2030 adalah mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, perkara itu telah dibincangkan secara dasar di peringkat kementerian bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water bagi melihat kaedah terbaik memperkukuh sumber air mentah negeri.

“Kita mahu memastikan sumber air mentah mencukupi untuk loji rawatan air yang dinaik taraf, loji rawatan baharu dan sistem grid air yang menjadi sasaran kita untuk disiapkan menjelang 2030,” katanya.

Oleh Adele Rissa