BANDAR SERI BEGAWAN: Perjalanan penduduk antara Brunei Darussalam, Sarawak dan Sabah bakal dipermudah, terutama dari segi prosedur di pos pemeriksaan imigresen di wilayah masing-masing.
Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh isu sempadan darat dan laut, selain kerjasama dalam sektor minyak dan gas.
“Ada juga perbincangan berkenaan cara untuk mempermudahkan laluan kedua-dua penduduk, daripada Brunei Darussalam ke Sarawak dan juga ke Sabah kerana ada banyak pusat pemeriksaan imigresen, ada lapan kena buat pergi dan balik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua negara berjiran itu telah meminta jawatankuasa teknikal meneruskan perbincangan bagi mencari kaedah terbaik untuk mempermudah urusan perjalanan penduduk.
Sementara itu, mengenai isu sempadan darat, Mohamad berkata kira-kira 50 peratus daripada isu berkenaan telah diselesaikan, termasuk kerja-kerja penandaan sempadan di lapangan.
Katanya, kerja penandaan itu akan diselaraskan berdasarkan terma rujukan (TOR) 2009 serta laporan jawatankuasa teknikal di lapangan sebelum dijadikan asas bagi memuktamadkan sempadan darat antara kedua-dua negara.
Mengenai kerjasama dalam sektor minyak dan gas pula, beliau berkata semua perkara berkaitan kerjasama antara Petronas Carigali dan Syarikat Minyak Brunei telah diselesaikan.
Pengeluaran gas pertama daripada eksplorasi laut dalam Kledang dijangka bermula pada awal 2029.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan bin Pehin Datu Mohd Yusof.





