PM Anwar tiba di Brunei untuk Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27

Facebook
WhatsApp
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut oleh Menteri Luar Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) Ke-25. Foto Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, pada 6.10 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Brunei Putera Abdul Mateen Bolkiah.

Esok, Anwar dijadualkan menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, di sini. 

Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar juga dijangka menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana.

Pada tahun 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Brunei dicatatkan sebanyak RM5.86 bilion (AS$1.37 bilion).

Jumlah eksport ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 bernilai RM4.20 bilion (AS$0.98 bilion), manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion (AS$0.39 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara telah mencecah RM2.38 bilion (AS$0.6 bilion).

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan. – Bernama